Lagi 3,824 pelajar IPT dihantar pulang hari ini
PUTRAJAYA - Seramai 3,824 pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, ia melibatkan pergerakan seramai 1,299 pelajar di zon tengah ke kampung halaman di zon Timur serta 1,256 pelajar di zon Utara ke zon Selatan.
Beliau berkata, sebanyak tujuh penerbangan turut dijadualkan untuk menghantar pulang seramai 1,268 pelajar.
"Ia antaranya melibatkan satu penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), penerbangan dari KIA ke KLIA (1), Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan (1) dan dua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan ke KLIA.
"Dengan itu, jumlah terkini pelajar yang dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah seramai 38,653 orang," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 262 kertas siasatan berkaitan berita palsu koronavirus (Covid-19) dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Daripada jumlah tersebut sebanyak 179 masih dalam siasatan, sementara 29 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.
"Melalui Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang juga ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19, sehingga kini sebanyak 263 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh PRP," katanya.
Beliau berkata, walaupun banyak peringatan dan amaran diberikan oleh kerajaan, penyebaran berita palsu tetap berlaku.
"Saya sendiri menjadi mangsa kononnya akan mengadakan temubual eksklusif dengan sebuah stesen televisyen tempatan hari ini sedangkan ia tidak benar.
"Disebabkan itu saya terpaksa buat penafian untuk mengelakkan kekeliruan...saya minta, kalau tidak pasti jangan sebar dan boleh layari WWW.SEBENARNYA.MY atau hubungi talian 03-89115103 untuk menyemak kesahihan berita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!