Sesi kedua bidaan plat eksklusif UUM bermula

Ahmad Bashawir (kiri) ketika melancarkan bidaan sesi pertama plat eksklusif UUM pada Februari lalu.
Ahmad Bashawir (kiri) ketika melancarkan bidaan sesi pertama plat eksklusif UUM pada Februari lalu.
A
A
A

SINTOK - Orang ramai masih berpeluang memiliki nombor pendaftaran kenderaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan membuat bidaan secara dalam talian.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, nombor plat eksklusif UUM itu adalah bagi sesi kedua yang bermula 10 Mei hingga 17 Mei menerusi laman sesawang https://uumplate.uum.edu.my.

Menurutnya, bidaan plat eksklusif UUM itu dilancarkan pada 16 Februari lalu sempena sambutan Hari Pengasasan UUM ke-36.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk memberi peluang kepada staf UUM, alumni, komuniti dan orang awam menzahirkan kebersamaan dengan universiti ini selain menjana pendapatan universiti,” katanya.

Dr Ahmad Bashawir berkata, pihaknya mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan penjualan nombor plat eksklusif UUM iaitu plat UUM 1 hingga UUM 9999.

"Ia sah untuk didaftarkan dalam tempoh 12 bulan selepas berjaya dibida tertakluk kepada peraturan semasa JPJ," katanya.

Menurutnya, pada sesi pertama penjualan nombor plat, sambutan orang ramai begitu menggalakkan.

"Ia seakan satu penghormatan kepada jenama UUM dan kebersamaan masyarakat dengan institusi pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada pembida yang mengambil bahagian, orang ramai dipelawa turut serta dalam bidaan kali ini," katanya.

Dr Ahmad Bashawir berkata, UUM turut menawarkan insentif baharu kepada warganya yang memenuhi syarat melalui pemilikan nombor secara potongan gaji bulanan.

"Antara penambahbaikan, pembida boleh membuat semakan nombor plat secara percuma melalui laman sesawang bidaan rasmi. Terdapat lima kategori nombor dengan nilai minimum bidaan berbeza antaranya kategori utama (RM30,000), kategori menarik (RM7,000), kategori popular (RM2,000)," katanya.

Katanya, insentif sedia ada turut dikekalkan kepada pembida yang berjaya iaitu yuran keahlian percuma Kelab Golf & Rekreasi UUM bernilai sehingga RM5,000 kepada pembida berjaya dengan nilai bidaan RM20,000 dan ke atas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!