'Mama pesan maafkan orang sebelum tidur'

Zulzila Zulkifli
Zulzila Zulkifli
A
A
A

RAWANG - "Mama pesan sebelum tidur maafkan semua orang, supaya tidur kita tenang," itu antara pesanan terakhir bekas karyawan Karangkraf, Zulzila Zulkifli, 49, kepada anaknya sebelum meninggal dunia akibat batuk kering pada 29 April lalu.

Anak sulungnya, Saidatul Husna Mohd Izuddin, 21 berkata, ibunya meninggal dunia di rumah mereka di Bandar Tasik Puteri selepas seminggu pulang dari Hospital Selayang.

Menurutnya, dia sempat menjaga ibunya sepanjang di hospital dan hampir saban malam ibunya memberikan nasihat sama.

"Mama kata biarlah apa orang buat dekat kita, apa jua masalah kita di siang hari itu, sebelum tidur kita maafkan orang," katanya sewaktu menerima kunjungan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Rawang bagi menyampaikan sumbangan.

Hal sama dikongsi suami Allahyarham, Mohd Izuddin Maarop, 48, akan sikap isterinya yang akan meminta maaf kepadanya setiap malam sebelum tidur.

"Alasan arwah buat macam tu kerana takut tak sempat untuk minta maaf jika meninggal dalam tidur menyebabkan perkara itu menjadi kebiasaan buat kami.

"Kalau ada selisih faham sebelum tidur kami akan selesaikannya dengan bercakap, tak akan diam sampai esok pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Faedah Perkeso disampaikan Zamri (kanan) kepada Mohd Izuddin ditemani anak-anaknya di rumahnya di Bandar Tasik Puteri Rawang hari ini.
Faedah Perkeso disampaikan Zamri (kanan) kepada Mohd Izuddin ditemani anak-anaknya di rumahnya di Bandar Tasik Puteri Rawang hari ini.

Selain itu katanya, Allahyarham sempat menyediakan juadah berbuka puasa siakap berlada yang menjadi kegemarannya sekeluarga dan menyiapkan keperluan dapur.

"Arwah sibuk menguruskan keperluan semua dan sempat masakkan lauk kegemaran kami sekeluarga.

"Cuma malam tu arwah pelik sedikit kerana semua isi ikan diberikan kepada anak dan dia hanya meratah tulang. Biasanya isinya akan dimakan bersama-sama," katanya.

Kongsinya, isterinya berhenti kerja di Karangkraf sekitar 2013 untuk menjaganya yang menghadapi masalah kesihatan termasuk sakit buah pinggang.

"Cuma ketika itu saya masih boleh menguruskan diri jadi arwah ada kerja di beberapa syarikat lain sebelum berhenti sepenuh masa untuk menjaga saya selepas kaki dipotong tahun lepas.

"Arwah cuma dikesan sakit batuk kering baru-baru ini dan pernah dirujuk di Hospital Sungai Buloh, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Selayang sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga pada malam 29 April," katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman berkata, lawatan ziarah ke atas keluarga itu hari ini bagi menyampaikan sumbangan faedah pengurusan mayat kepada waris.

"Waris akan menerima pencen penakat RM800 sebulan untuk kegunaan empat anaknya yang masih belajar iaitu seorang daripadanya di Universiti Malaya, dua belajar di Kolej Vokasional Sungai Buloh dan seorang lagi masih di tingkatan dua.

"Suaminya merupakan penerima pencet ilat sejak 2009 sementara arwah baru sahaja menerima manfaat Elaun Layanan Sentiasa (ELS) sebanyak RM500 kerana menguruskan suaminya yang perlu jalani dialisis dan selepas kakinya dipotong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!