Calon Presiden Indonesia debat isu rasuah, undang-undang
JAKARTA - Indonesia. Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi dan seteru pilihan raya, Prabowo Subianto memulakan debat pertama semalam, tiga bulan sebelum pengundian di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.
Mereka bertikam lidah mengenai isu rasuah dan penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain dalam debat yang berlangsung selama 90 minit itu.
Debat yang disiarkan secara langsung ke semua stesen televisyen di Indonesia itu menyaksikan pengulangan persaingan pada 2014, di mana Jokowi berjaya mengalahkan jeneral bersara dengan tipis dan muncul sebagai presiden pertama daripada luar golongan elit politik dan tentera.
Menjelang kempen itu, kebanyakan tinjauan pendapat memberikan Jokowi kedudukan pendahulu dua angka berbanding Prabowo. Bagaimanapun, pendirian suku pengundi masih tidak diketahui.
Semua calon untuk pilihan raya yang dijadualkan pada 17 April depan itu ditanya mengenai isu hak asasi manusia, rasuah dan keganasan di negara keempat paling ramai penduduk dunia terbabit.
Jokowi berkata, pasukan beliau ‘menawarkan keyakinan’ manakala Prabowo, 67, menekankan isu kemiskinan dan jurang pendapatan yang menjejaskan lebih 250 juta penduduk negara itu.
Jokowi yang berpakaian putih kadang-kadang kelihatan berang mempertahankan rekod beliau, ketika seterunya berulang kali mempersoalkan sistem perundangan negara dan rasuah meluas.
Prabowo yang berpakaian hitam dan bertali leher merah berjanji untuk mengambil tindakan drastik terhadap pesalah rasuah dengan mencadangkan mereka patut diasingkan di pulau kosong dan dikenakan kerja-kerja buruh. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!