Lega dapat pulang ke rumah

Puvwnesvari lega dan bersyukur akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya di Johor Bahru.
Puvwnesvari lega dan bersyukur akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya di Johor Bahru.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Setelah hampir dua bulan terkandas di rumah kakak dan berjauhan dengan suami berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, seorang suri rumah lega dan bersyukur akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya di Johor Bahru.

D Puvwnesvari, 39, berkata, dia bersama empat anaknya berusia 12 tahun hingga lima bulan terkandas di rumah kakaknya di Ayer Molek di sini sejak bermula cuti persekolahan pada 13 Mac lalu, manakala suaminya tidak ikut sama kerana bekerja.

Menurutnya, dia kemudian mendapatkan kebenaran pulang merentasi negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai polis berhampiran sebelum suaminya yang berada di Johor datang mengambil mereka anak beranak semalam.

"Memang lega sebab dapat pulang ke rumah sendiri, jumpa suami memandangkan sebelum ini saya rancang hanya tinggal di Melaka selama seminggu, namun tak sangka berlanjutan sehingga PKP.

"Syukur dan gembira kerajaan beri sedikit kelonggaran untuk kami pulang. Jika tidak kami sendiri pun tak tahu sampai bila terus terkandas di sini dan risau," katanya ketika ditemui di Tol Ayer Keroh di sini hari ini.

Seorang guru, Muhammad Shahiran Shariff, 32, yang turut terkandas bersama isteri di rumah adiknya di sini juga lega dapat pulang semula ke rumah mereka di Pasir Gudang, Johor selepas permohonan untuk merentasi negeri menggunakan aplikasi Gerak Malaysia diluluskan.

Muhammad Shahiran
Muhammad Shahiran

Katanya, dia bimbangkan keadaan kesihatan ibu bapa yang sudah tua dan hanya tinggal berdua di rumah di Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

"Risau sangat memikirkan keadaan ibu bapa di rumah sebab saya dan isteri terperangkap lama di Melaka sejak cuti sekolah lalu.

"Namun nasib baik ada jiran-jiran yang membantu menguruskan keperluan makanan mereka memandangkan ayah berusia 70 tahun manakala emak 60 tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Polis Melaka menerima sebanyak 1,467 permohonan secara manual kebenaran merentasi negeri termasuk mereka yang terkandas di negeri ini sejak PKP dilaksanakan.

Menurutnya, keadaan trafik berdekatan Tol Ayer Keroh perlahan sejak awal jam 9 pagi disebabkan penambahan kenderaan yang mahu merentasi negeri, namun trafik kembali lancar selepas jam 10 pagi.

Aliran trafik perlahan berdekatan Tol Ayer Keroh disebabkan pertambahan kenderaan untuk merentasi negeri.
Aliran trafik perlahan berdekatan Tol Ayer Keroh disebabkan pertambahan kenderaan untuk merentasi negeri.

Katanya, tahap kepatuhan orang ramai terhadap arahan kerajaan tinggi apabila hanya beberapa kenderaan yang diminta berpatah balik kerana didapati tidak membuat sebarang permohonan.

"Kita menjangkakan kenderaan banyak sekitar jam 10 pagi, namun orang ramai dilihat telah bergerak lebih awal keluar ke arah Tol Ayer Keroh menyebabkan aliran trafik perlahan ketika itu.

"Namun keadaan masih terkawal dan kembali lancar selepas jam 10 pagi, manakala dua tol keluar ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu Tol Lipat Kajang, Jasin dan Tol Simpang Ampat, Alor Gajah terkawal," katanya.

Semalam, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kassim Karim memaklumkan akan membuat tiga hingga lima sekatan jalan raya secara bergerak bagi memastikan aliran trafik lancar untuk orang ramai melakukan pergerakan antara negeri dari Melaka bermula hari ini.

Menurutnya, kaedah sama akan diperluaskan di jalan biasa yang bersempadan dengan negeri lain dan SJR mobile itu akan dilengkapkan dengan kemudahan alat pengimbas QR kod untuk menyemak permohonan orang ramai yang menggunakan aplikasi Gerak Malaysia.

Eng Lai ketika membuat semakan permohonan pemandu kenderaan untuk merentasi sempadan di Ayer Keroh hari ini.
Eng Lai ketika membuat semakan permohonan pemandu kenderaan untuk merentasi sempadan di Ayer Keroh hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!