Lelaki cedera ditemui mati di rumah kosong
KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui mati di belakang sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong di sini hari ini.
Mangsa yang cedera di bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri ditemui seorang lelaki kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, rumah kosong itu tidak mempunyai pemilik dan dipercayai menjadi tempat tinggal gelandangan.
"Hasil pemeriksaan awal, polis tidak menjumpai apa-apa barangan melibatkan identiti pada mayat dan setakat ini kita masih mengesan keluarga mangsa.
"Ada kesan darah ditemui pihak forensik dan kita percaya ia ada kaitan dengan unsur pergaduhan.
"Kita masih siasat dan juga mengesan saksi yang dapat membantu siasatan kes ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai kenalan mangsa turut ditahan sekitar kawasan rumah tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!