Langgar syarat: Maritim tahan, rampas hasil tangkapan

Bot yang ditahan Maritim.
Bot yang ditahan Maritim.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang kerana dipercayai melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 13 batu nautika dari Selatan Barat Daya Pulau Kendi pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil dari pemeriksaan dilakukan pihaknya menahan seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 47 tahun bersama dua orang awak-awak warga Thailand berusia 26 tahun dan 49 tahun berada di atas bot berkenaan.

"Turut ditemui dua pukat tunda gulung, hasil tangkapan ikan yang dianggarkan seberat 500 kilogram di dalam bot berkenaan.

"Kesemua mereka ditahan dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan serta tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Hamizan berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat.

Beliau berkata, Maritim memandang serius berkenaan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau turut mengingatkan agar komuniti maritim di negeri ini untuk bekerjasama dengan pihak Maritim dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

Artikel Berkaitan:

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!