Barangan keperluan Aidilfitri mencukupi: KPDNHEP
GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan tidak berlaku pembelian panik dan barang keperluan mencukupi bagi persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan) KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali berkata, pengguna di seluruh negara jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai khabar angin berhubung barang keperluan tidak mencukupi dan berlaku kenaikan harga.
"Keadaan itu tidak berlaku kerana pemantauan sentiasa dilakukan dan mendapati semua barang keperluan yang dijual di pasar raya dan kedai di kawasan kampung mencukupi serta harganya yang stabil," katanya
Beliau berkata demikian selepas meninjau barang keperluan yang dijual di sebuah kedai di Kampung Jerek di sini petang ini.
Menurutnya, penduduk di luar bandar juga tidak perlu bersusah payah mengejar masa untuk membeli barang keperluan bagi persiapan Aidilfitri di pasar raya kawasan bandar kononnya harga lebih murah walaupun sanggup bersesak.
"Harga jualan barang keperluan itu termasuk tepung gandum, telur ayam dan minyak masak sama saja di pasar raya dan kedai di kampung pedalaman," katanya.
Mohamed Zahari berkata, penguatkuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan ke atas semua pasar raya dan kedai runcit di kampung mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kementerian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!