Politik berteras sunnah
PEPATAH Melayu 'rambut sama hitam tetapi hati lain-lain' menunjukkan kematangan budaya kita dalam menerima perbezaan pendapat terutama pendapat politik.
Masyarakat kita akur dengan sifat manusia yang tidak mungkin sehaluan pendapat dalam setiap perkara dan ruang yang disediakan oleh undang-undang bagi golongan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran negara untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka dalam cara aman dan munasabah antaranya melalui pilihan raya.
Lapar kepada kuasa atau niat membalas dendam bukanlah suatu yang dianjurkan oleh Islam. Kuasa adalah amanah yang perlu digalas di pundak pemimpin.
Membalas dendam membawa umat Islam kembali ke zaman jahiliah sedangkan sepatutnya sebagai umat yang diajar dengan ajaran mulia, kita telah membebaskan diri daripada perangkap hasad dengki dan membalas dendam. Pemerintah yang tidak boleh berkompromi langsung mengenai perbezaan pendapat dan mengambil tindakan ekstrem dengan menghapuskan rakyatnya sendiri adalah pemerintah kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Contoh pemimpin terbaik ialah Rasulullah SAW dan antara sifat yang ditonjolkan sebagai amanat kepada seluruh umat Islam adalah kemaafan serta menolak kejahilan seperti keangkuhan.
Semasa pembukaan Kota Mekah oleh tentera Islam diketuai oleh Rasulullah SAW pada tahun 8 hijrah, Rasulullah telah memerintahkan sahabat-sahabatnya memanggil kesemua penduduk Quraisy Mekah untuk bertemu dengannya di hadapan Kaabah dengan janji bahawa mereka tidak akan diapa-apakan.
Apabila Rasulullah bertanya kepada Quraisy Mekah pada fikiran mereka apakah yang akan dilakukan oleh Rasulullah terhadap mereka, Quraisy Mekah telah menjawab: “Saudara mulia, anak kepada saudara kami yang mulia.” Rasulullah mengisytiharkan bahawa Baginda memaafkan mereka dan membebaskan mereka dengan menyatakan bahawa, “Wahai Quraisy, kamu semua daripada Adam AS dan Adam berasal daripada tanah. Maka buangkanlah sifat angkuh dan sombong kamu.”
Hikmah Rasulullah memaafkan Quraisy memberi iktibar kepada Quraisy pada masa itu dan kepada kita bahawa Rasulullah bukannya bermusuh dengan Quraisy tetapi dengan sikap angkuh dan sombong mereka. Walaupun Quraisy pada asalnya merupakan musuh utama Rasulullah dan umat Islam serta telah memerangi Rasulullah dan tentera Islam dalam peperangan, sikap Rasulullah memaafkan mereka cukup menyentuh jiwa mereka.
Quraisy akhirnya memahami hikmah Rasulullah memaafkan mereka dan ia mendorong kebanyakan daripada mereka memeluk Islam dan seterusnya ramai menyertai ekspedisi peperangan Riddah (peperangan terhadap golongan murtad) serta ekspedisi peperangan terhadap kerajaan Farsi dan Roman dalam usaha kerajaan Khalifah Islam menyahut seruan dakwah agama ke seluruh alam dan menjadi wira dalam sejarah Islam.
Politik bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Politik Islam bertujuan membina agama dengan berpolitik. Inilah sisi yang dianjurkan Islam kerana politik itu sendiri mestilah disulami dengan membangunkan agama Islam.
Percaturan politik masih lagi dirancang pelbagai pihak sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Ruang kebebasan ini seharusnya diambil dalam konteks membangunkan negara dan agama Islam. Malah Islam memberi penyelesaian berkaitan aspek kenegaraan dan berpolitik.
Memang lazim dalam politik satu golongan tidak bersependapat dengan golongan yang lain, ia bukan suatu yang ganjil tetapi lumrah yang diamalkan.
Rakyat Malaysia juga tidak janggal dengan situasi ini malah acapkali meraikannya. Namun golongan politikus mestilah sedar bahawa tidak semua orang berada sama ada dalam blok kerajaan ataupun blok pembangkang. Sebenarnya lebih ramai yang tidak berkecenderungan dalam mana-mana blok tetapi hanya mahu melihat negara maju aman dan damai.
Janganlah hanya menggunakan parameter politik dalam menentukan sesuatu keputusan kerana tidak semestinya politik itu sahaja yang akan menggarap penyelesaian masalah ummah.
Jika kita akur dengan perintah dan larangan ALLAH SWT dan RasulNya, pasti kita tidak akan tersasar daripada konsep bernegara dalam Islam. Hanya dengan cara itu baru negara dapat maju dan diberkati ALLAH.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!