Lelaki pulih Covid-19 selepas koma 29 hari
SHAH ALAM - Seorang wanita di sini bersyukur apabila suaminya pulih sepenuhnya setelah koma selama 29 hari akibat dijangkiti koronavirus (Covid-19) ketika menjalani rawatan di Hospital Houssay, Argentina pada 1 Mac lalu.
Zainah Zaid, 40, berkata, sejak suaminya, Mohd Zaidy Abdul Rahman, 43, disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac lalu, dia bersama ahli keluarganya akan membaca surah Yasin setiap hari melalui aplikasi persidangan video.
Menurutnya, dia mengetahui suaminya disahkan dijangkiti wabak itu selepas dihubungi bapanya, Zaid Abdullah, 69, yang mengikuti rombongan tabligh bersama suami dan tiga lagi jemaah tabligh negara ini ke Argentina.
"Ketika itu memang saya terkejut apabila dimaklumkan suami positif Covid-19 dan risau tentang keadaan kesihatannya yang berada di luar negara.
"Sebagai umat Islam saya percaya hanya ALLAH mampu menyembuhkan segala penyakit dan saya sekeluarga mengamalkan bacaan surah Yasin selepas Maghrib dan keluarga suami pula membaca surah sama selepas solat Isyak," katanya kepada Sinar Harian.
Zainah berkata, selain itu, dia juga melakukan amalan bersedekah kepada manusia dan haiwan pada setiap hari.
"Ayah nasihatkan saya perbanyakkan amalan bersedekah dan setiap kali saya memberi kucing makan saya memintanya mendoakan suami saya diberikan kesembuhan melawan Covid-19," katanya.
Menurut Zainah, suaminya berlepas ke Argentina pada 3 Mac lalu dan mula mengalami gejala sesak nafas selepas 10 hari berada di sana.
"Suami dimasukkan di hospital pada 15 Mac lalu dan tiga hari selepas itu dia disahkan positif Covid-19. Saya tak boleh bayangkan perasaan pada masa itu, apatah lagi sukar untuk mengetahui perkembangan keadaan kesihatan suami semasa dirawat di hospital di negara terbabit.
"Saya bersyukur kerana dapat menghubungi kedutaan Malaysia bagi membolehkan saya berhubung dengan doktor yang merawat suami di sana.
"Mulanya saya berdepan masalah komunikasi apabila doktor di sana tidak pandai bercakap bahasa Inggeris namun kebetulan seorang rakan yang menghubungi saya bertanya khabar memaklumkan dia boleh berbahasa Sepanyol kerana pernah bekerja di Mexico.
"Atas bantuan rakan sebagai penterjemah, akhirnya saya dapat berhubung dengan doktor yang merawat suami untuk mengetahui keadaan kesihatannya pada ketika itu," katanya.
Menurutnya, keadaan suaminya itu kini semakin stabil dan kini berada di sebuah inap desa di Buenos Aires, Argentina.
"Alhamdulillah suami dan bapa saya masih berada di sana manakala tiga lagi jemaah tabligh dari negara ini sudah pulang ke tanah air pada 20 Mac lalu," katanya.
Katanya, difahamkan perbelanjaan sewa inap desa itu ditanggung sepenuhnya kumpulan rakan tabligh di negara itu.
"Alhamdulillah semua caj hospital ditanggung sepenuhnya kerajaan Argentina dan saya berharap agar suami dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
"Saya telah menghantar e-mel kepada Wisma Putra berhubung perkara ini memandangkan suami masih tidak dapat pulang ke tanah air berikutan semua aktiviti penerbangan di negara itu dihentikan berikutan penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!