PDRM kaji SOP tuntutan elaun khas
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) berkaitan tuntutan bayaran elaun khas RM200 kepada barisan hadapan yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar dapat disegerakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Bukit Aman dari awal sudah menyedari dakwaan anggotanya yang mengalami kesukaran untuk menuntut elaun itu disebabkan prosesnya yang agak rumit.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman untuk memeriksa bagi mempermudahkan proses pembayaran dibuat.
"Saya diberitahu proses mengisi borang elaun ini tidak berbeza dengan amalan jabatan kerajaan lain namun saya sudah mengarahkan untuk menyegerakan proses berkenaan," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pegawai yang ditugaskan untuk membayar elaun juga mengikuti garis panduan dan SOP yang ada berkaitan dengan perbelanjaan kewangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pengarah Pengurusan PDRM akan keluarkan kenyataan lengkap tentang perkara ini," katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Abdul Hamid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan muka hadapan Sinar Harian semalam berhubung rungutan anggota PDRM yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berikutan prosedur tuntutan elaun penugasan koronavirus (Covid-19) sebanyak RM200 sebulan didakwa terlalu rumit.
Menurut mereka, anggota dan pegawai polis terlibat perlu mengisi tiga salinan set borang sebelum menuntut elaun tersebut.
Selain itu, mereka perlu mengisi borang melalui e-siar dan ia harus diisi secara bertaip yang perlu disertakan bersama enam jenis salinan dokumen peribadi.
Antara yang perlu disertakan ialah salinan akaun bank gaji, salinan slip gaji, surat arahan bertugas daripada ketua bahagian dan surat arahan bertugas yang ditandatangani oleh ketua polis daerah serta senarai nama petugas.
Berikutan proses yang rumit itu, ramai anggota polis yang bertugas berkecil hati dan enggan membuat tuntutan tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar semalam berkata, Jabatan Pengurusan Bukit Aman akan mengadakan perbincangan dengan kontinjen negeri minggu hadapan berhubung kesulitan anggota dan pegawainya untuk mendapat elaun khas tugasan Covid-19 berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Macam tak ikhlas nak bagi elaun!
'Kami bukan tidak bersyukur...'
Susah 'claim' elaun: Bukit Aman bincang dengan kontinjen negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!