Penduduk di zon merah perlu lebih berhati-hati

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati penduduk di zon merah supaya berhati-hati apabila keluar dari rumah iaitu dengan mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan kerap membersihkan tangan. - Foto 123RF
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati penduduk di zon merah supaya berhati-hati apabila keluar dari rumah iaitu dengan mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan kerap membersihkan tangan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati penduduk di zon merah supaya berhati-hati apabila keluar dari rumah iaitu dengan mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan kerap membersihkan tangan.

Menurutnya, buat masa sekarang terdapat empat kawasan yang masih berstatus merah iaitu Mukim Batu, Gombak Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur dan Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

"Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya 4 atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah.

"Bagi penduduk di kawasan ini, saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah. Amalkan penjarakan sosial, pakai topeng muka, sentiasa bersihkan tangan dan kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah.

"Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya pertamanya jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19," katanya pada Perutusan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan penduduk di kawasan hijau agar tidak terlalu selesa dan kerap bergerak dengan bebas.

"Saudara-saudari mungkin beranggapan tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau. Tetapi saya hendak ingatkan selalu yang virus Covid-19 ini merupakan musuh senyap yang kita tidak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

"Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng muka dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18 bulan.

"Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk menghasilkan vaksin bagi virus ini.

"Saya berharap vaksin dapat dihasilkan seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman Covid-19 dengan secepat mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!