Kerajaan Perak anjur tilawah online
IPOH - Bagi menyemarakkan suasana Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta Jabatan Penerangan Perak menganjurkan Ujian Tilawah Al-Quran Remaja Peringkat Negeri Perak bermula dari 12 Mei 2020 hingga 18 Mei 2020.
Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, penganjuran tersebut dilaksanakan bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran dengan bertemakan Moh Kome Kite Ngaji.
Menurutnya, dari segi syarat penyertaan, ujian tersebut terbuka kepada anak kelahiran Perak yang berumur 15 hingga 21 tahun dan diadakan sepenuhnya secara dalam talian.
"Kita menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,700 dengan dua kategori ujian iaitu kategori lelaki dan wanita. Peserta perlu
merakam bacaan ayat al-Quran dalam bentuk video berdurasi kurang lima minit dan menghantar rakaman tersebut ke pautan yang telah disediakan.
"Video yang dihantar mestilah tulen dan tidak disunting serta dirakam selepas 12 Mei 2020 dengan taranum wajib bayati dan sikah. Pihak urusetia akan menghubungi peserta yang berjaya dan mendapatkan sendiri pengesahan bacaan daripada mereka," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Akmal berkata, penganjuran julung kali itu bertujuan untuk mengetengahkan bakat muda dalam pembacaan al-Quran di samping memupuk semangat cintakan al-Quran selain mendatangkan minat mempelajari seni bacaan al-Quran dalam kalangan remaja di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri mengharapkan sambutan yang baik dari segi penyertaan dalam kalangan anak muda sempena bulan Ramadan ini.
Sementara itu, setiap video yang dihasilkan perlu dihantar melalui pautan tersebut https://forms.gle/P4gF5RAVZMkxvVh67 berserta butiran lengkap iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan, umur, alamat dan nombor telefon.
Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM2,000 berserta sijil diikuti RM1,500 bagi naib johan manakala tempat ketiga menerima RM1,000.
Bagi tempat keempat, kelima dan keenam pula, masing-masing akan menerima wang tunai RM500 manakala RM300 akan diberikan kepada peserta yang mendapat tempat ketujuh hingga 10.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!