Thaipusam: Larangan bawa bahan terlarang

Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani membuat persiapan sempena perayaan Thaipusam yang akan bermula 20 Januari ini.
Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani membuat persiapan sempena perayaan Thaipusam yang akan bermula 20 Januari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam mengingatkan agar 100,000 pengunjung yang akan meraikan Thaipusam tidak membawa bahan terlarang bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Pengerusinya, P Rajendran berkata, bunga api termasuk dalam bahan larangan yang tidak dibenarkan di mana penganut yang didapati gagal mematuhi arahan akan dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Menurutnya, selain bunga api, barangan terlarang lain termasuk senjata selain penjualan arak di kedai berhampiran kuil juga tidak dibenarkan.

"Selain pemantauan lebih 400 anggota polis yang bertugas sepanjang empat hari sambutan berlangsung bermula 20 Januari jam 4 pagi, beberapa agensi lain turut memberikan kerjasama termasuk bomba, St John Ambulance dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.

"Deretan kedai berhampiran juga diarahkan tutup bagi melancarkan sambutan selain memastikan keselamatan setiap pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, terjamin.

"Anggota polis akan berkawal di setiap kawasan ditetapkan sejauh 600 meter sepanjang laluan perarakan kavadi yang bermula dari Kuil Sri Muniswarar Jalan Hospital, Jalan Badlishah, Jalan Pasar dan Jalan Kuala Ketil," katanya.

No Image Caption

Manakala, bagi perarakan kereta berhala yang turut dikawal ketat pihak berkuasa akan melalui laluan dari Kuil Sri Subramaniya Devasthanam di Jalan Kuala Ketil, Jalan Pasar, Jalan Petri, Jalan Bank, Jalan Hospital dan Jalan Sekerat.

Artikel Berkaitan:

Sungai Petani antara yang menjadi tumpuan pengunjung seluruh dunia bagi menyaksikan kepelbagaian acara sambutan dan kemeriahan Thaipusam, antara tiga lokasi terbaik di Malaysia selain Batu Caves dan Pulau Pinang.

Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy dijangka mengadakan kunjungan ke kuil ini bagi memeriahkan Thaipusam 22 Januari depan.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 20 orang cedera termasuk seorang anggota polis dan kanak-kanak akibat letupan bunga api yang diletupkan ketika orang ramai menyertai perarakan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam terbabit.

Difahamkan, letupan bunga api berlaku ketika orang ramai sedang menyaksikan perarakan kereta berhala yang diarak dari kuil terbabit.

Manakala pada 2014, seorang pekerja kilang maut ditikam dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan dipercayai anggota kongsi gelap ketika menyertai perarakan Thaipusam di kuil sama.

Mangsa, dikatakan sedang melihat perarakan bersama keluarga dan rakan-rakan sebelum diserang 20 lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!