Gelandangan atau kutu rayau?

A
A
A

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi fokus terhadap golongan yang tiada tempat tinggal dan memerlukan perlindungan yang boleh ditakrifkan sebagai orang papa di bawah Akta Orang Papa 1977 (Akta 183).

JKM secara berkala sentiasa melakukan operasi bagi menyelamatkan orang papa yang terdiri daripada pengemis dan kutu rayau.

Definisi orang papa menurut JKM ialah seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu ataupun hingga mengadakan kacau ganggu atau seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam sama ada atau tidak ia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya, atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.

Desa Bina Diri (DBD) ditubuhkan untuk memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada pengemis dan orang papa bagi melahirkan individu yang produktif dan berkemahiran ke arah perubahan sikap yang positif untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.

Terdapat lima DBD di bawah JKM iaitu di Mersing, Jerantut, Kuching, Kota Kinabalu dan Sungai Buloh. Antara syarat kemasukan adalah warganegara Malaysia, berumur antara 18–59 tahun, tiada keluarga, tiada pendapatan dan tidak mengidap penyakit berjangkit. Permohonan boleh dibuat secara sukarela atau melalui perintah mahkamah.

DBD berbeza dengan Rumah Seri Kenangan (RSK) yang ditubuhkan untuk memberi jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

RSK memberi perkhidmatan jagaan dan perlindungan, bimbingan dan kaunseling, aktiviti rekreasi, rawatan perubatan, terapi cara kerja serta fisioterapi. Terdapat 10 RSK di bawah JKM di seluruh Malaysia.

Antara kriteria kemasukan adalah warganegara Malaysia, berumur 60 tahun ke atas, tidak ada sumber pendapatan dan tidak mampu menyara diri sendiri, tidak menghidap penyakit berjangkit, tidak mempunyai sanak saudara atau waris, tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan berupaya mengurus diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sebagaimana DBD, mereka yang layak boleh memohon masuk secara sukarela atau pun melalui perintah mahkamah.

Semua ini menunjukkan betapa pihak kerajaan berusaha sebaik mungkin menjaga kebajikan setiap ahli masyarakat. Namun, mengapa masalah gelandangan seperti tiada kesudahan?

Situasi hidup adalah sebab utama yang membawa kepada hidup bergelandangan. Ada yang baru keluar penjara dan tiada kerja mahupun tempat tinggal kerana disisih keluarga dan ada juga yang menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyewa rumah sehingga terpaksa tidur di jalanan.

Namun begitu, ada juga yang memilih untuk tidur di jalanan kerana tidak mahu menyusahkan keluarga yang hidup susah.

Yang menyedihkan, ada yang mengambil kesempatan. Di Kota Bharu sahaja, kebiasaannya menjelang Ramadan, ramai ‘pengemis’ akan membanjiri bandar untuk mengambil kesempatan daripada ahli masyarakat yang memperbanyakkan sedekah pada bulan yang mulia.

Menurut Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup ada antara mereka memperoleh pendapatan purata RM100 sehari.

Kepada masyarakat Malaysia yang pemurah, terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini, jika ingin membantu, salurkanlah sedekah anda kepada masjid atau pusat zakat atau mana-mana badan kebajikan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan sah.

Ini bagi memastikan sumbangan yang dihulurkan sampai atau dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar memerlukan dan ini juga akan membantu mengurangkan bilangan pengemis atau kutu rayau yang meminta sedekah di sekeliling kita.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!