Tentera Venezuela rampas tiga bot tempur milik Colombia

Maduro ketika membuat pengumuman di Caracas tentang penahanan tiga lagi askar upahan yang didakwa cuba untuk menggulingkan beliau. - Foto AFP
Maduro ketika membuat pengumuman di Caracas tentang penahanan tiga lagi askar upahan yang didakwa cuba untuk menggulingkan beliau. - Foto AFP
A
A
A

CARACAS - Tentera Venezuela merampas tiga bot tempur ringan milik Colombia yang ditemui ketika rondaan di sungai Orinoco sebagai sebahagian daripada operasi untuk menjamin kebebasan dan kedaulatan negara itu semalam.

Kementerian Pertahanan memaklumkan, bot tanpa kru tersebut dilengkapi mesingan dan peluru.

Penemuan itu dibuat beberapa hari selepas Caracas menuduh Bogota membantu plot didalangi Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Dalam perkembangan sama, tiga lagi tentera upahan yang didakwa terlibat dalam plot untuk merampas kuasa telah ditahan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan suspek mencecah 34 orang.

“Kami masih memburu saki-baki tentera upahan dan kami akan menahan kesemua mereka,” tegas Maduro.

Awal minggu lalu, Maduro memaklumkan dua warga AS, Airan Berry dan Luke Denman juga terlibat dalam cubaan untuk melancarkan serangan dari laut di La Guaira pada Ahad lalu.

Dua hari selepas itu, stesen TV tempatan menyiarkan rakaman video pengakuan Berry dan Denman yang mendakwa terlibat dalam operasi melatih pasukan penentang Venezuela di Colombia untuk menggulingkan Maduro.

Kedua-duanya berdepan beberapa tuduhan termasuk keganasan, konspirasi dan penyeludupan senjata perang yang boleh membawa hukuman penjara 25 hingga 30 tahun jika disabit bersalah.

Artikel Berkaitan:

Maduro kemudiannya menuduh rakan sejawatannya di AS, Donald Trump dan Presiden Colombia, Ivan Duque terlibat dalam komplot tersebut, namun dinafikan mereka serta menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.

Difahamkan, Venezuela telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Colombia pada tahun lalu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!