Masih ada peluang rayu permohonan BPN

Menteri Kewangan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini. -Foto Bernama
Menteri Kewangan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini. -Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini mengumumkan lebih 2.3 juta permohonan baharu dan juga rayuan untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diluluskan berjumlah RM1.7 bilion.

Dengan kelulusan berkenaan, jumlah penerima BPN setakat ini adalah sebanyak 10.6 juta orang membabitkan bayaran berjumlah RM11 bilion.

BPN diberikan kerajaan untuk membantu menampung pendapatan rakyat yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) terutama golongan B40 yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan dengan pembayaran berperingkat dalam dua fasa.

Namun, kecoh di media sosial apabila terdapat segelintir rakyat mengeluh permohonan mereka untuk mendapatkan BPN ditolak dan ada yang masih belum mendapat BPN seperti yang dijanjikan.

Ada pula yang merungut bantuan yang sepatutnya dijanjikan berjumlah RM800, bagaimanapun hanya menerima RM500 sahaja sedangkan pendapatan mereka di bawah RM2,000 sebagaimana ditetapkan.

Keluhan sama turut dizahirkan beberapa individu yang pernah mendaftarkan syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain mendakwa syarikat yang didaftarkan tidak mempunyai pendapatan atau aliran wang perbankan.

Bagi yang masih tidak menerima BPN, usah terlalu kecewa kerana rayuan masih boleh dilakukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen semalam menjelaskan, Menteri Kewangan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Selain menghantar e-mel, pemohon boleh hadir sendiri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan itu namun kerajaan tidak dapat berjanji semua rayuan boleh diluluskan kecuali memenuhi syarat dan munasabah.

Pada masa yang sama, isu mengenai BPN ini perlu ditangani dengan baik. Jangan sampai ada yang tertinggal. Jika gagal ditangani dengan betul, sudah tentu ia memberikan imej negatif kepada kerajaan walaupun hasrat utama adalah untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!