Perak akur lanjutan PKPB
IPOH - Kerajaan Perak akur dengan keputusan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan dibuat kerajaan Persekutuan itu tentunya sudah diteliti sedalam-dalamnya sebelum ia diumumkan hari ini.
Menurutnya, keputusan itu juga membuktikan kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius kepada keselamatan dan kesihatan rakyat.
"Alhamdulillah, statistik semasa menunjukkan kita telah mampu mengawal penularan wabak ini sehingga kerajaan memutuskan untuk membuka semula kegiatan ekonomi.
"Jangan jadikan kelonggaran ini sebagai pencetus kepada wujudnya kluster-kluster jangkitan baharu," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal mengajak umat Islam di negara ini melihat hikmah di sebalik larangan rentas negeri untuk pulang ke kampung bagi merayakan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurutnya, larangan pulang ke kampung itu perlu dianggap sebagai pengorbanan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 sekali gus mengelak risiko jangkitan kepada ibu bapa di kampung halaman.
"Ingat, sentiasa jalankan tanggungjawab 'kita jaga kita' kerana kita masih belum menang dalam peperangan ini. Hargai pengorbanan semua petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa demi rakyat dan negara tercinta.
"Marilah kita doakan agar setiap rakyat terselamat daripada dijangkiti, manakala mereka yang disahkan positif jangkitan Covid-19 ini dapat disembuhkan dengan segera dan sama-sama kita bangunkan semula ekonomi negara tercinta ini," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB yang tamat Selasa ini dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!