Lemang Barakah utamakan kualiti

Lemang dibakar antara tiga hingga empat jam bergantung kepada saiz dan tebal buluh digunakan.
Lemang dibakar antara tiga hingga empat jam bergantung kepada saiz dan tebal buluh digunakan.
A
A
A

LEMANG merupakan salah satu juadah istimewa hari perayaan yang sinonim dengan rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu.

Rasanya yang lemak dan manis, enak dimakan bersama rendang dan serunding itu sering menjadi buruan ramai penggemar masakan tradisi.

Justeru, permintaan tinggi terhadap lemang menjadi cetusan idea buat empat sahabat dari Johor untuk memilih lemang sebagai bisnes ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan.

“Idea untuk jual lemang ini bermula selepas nasi lemak yang jual tidak dapat diteruskan.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk menjual lemang dan sepakat menamakannya bisnes ini sebagai Lemang Barakah,” kata Salizan Salehan, 38, ketika ditemui di Kampung Plentong Baru, Masai baru-baru ini.

Berbekalkan modal RM1,500, Salizan bersama rakannya, Hanafi Zainal, 39, Mohd Idham Noor Zaini, 38, dan Solehhudin Hashim, 29, memulakan perniagaan berkenaan pada 4 April lalu.

Salizan berkata, mereka memilih juadah itu sebagai produk perniagaan kerana ramai peniaga lemang yang biasa berniaga di tepi jalan tidak beroperasi sepanjang PKP dan Ramadan kerana akur dengan arahan kerajaan.

Oleh itu, dia dan rakan-rakannya mengambil peluang tersebut dan memulakannya secara kecil-kecilan di halaman rumah mentua Mohd Idham.

Artikel Berkaitan:

“Kami buat pemasaran di laman sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp. Sambutan diterima menggalakkan dan banyak tempahan diterima,” katanya.

Salizan berkata, pada awalnya mereka mendapatkan buluh lemang daripada pembekal di Kelantan namun PKP menyebabkan mereka gagal menerima tempahan mengikut masa ditetapkan sehingga mengganggu kelancaran bisnes.

Daun pisang muda digunakan agar tidak mudah koyak ketika lemang dibakar.
Daun pisang muda digunakan agar tidak mudah koyak ketika lemang dibakar.

Dia berkata, mereka berempat akhirnya mengambil keputusan mendapatkan bekalan buluh daripada penduduk sekitar Kampung Plentong Baru.

Jelasnya, buluh perlu dipilih dengan teliti supaya tidak terlalu muda kerana menghasilkan lemang berkualiti memerlukan buluh yang matang.

“Buluh matang membolehkan pembakaran lemang dilakukan dengan sekata. Kalau pakai buluh muda, ia akan pecah dan lemang dibakar kurang kualitinya,” katanya.

Persiapan

Salizan berkata, setiap hari mereka menggunakan 20 kilogram beras pulut untuk menghasilkan antara 40 hingga 50 batang lemang.

Jelasnya, seawal jam 10 pagi setiap hari mereka akan membuat persiapan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Selepas beras pulut dicuci dengan bersih, kami akan memasukkannya ke dalam buluh yang sudah dilapik dengan daun pisang muda.

“Daun pisang muda digunakan kerana ia tidak mudah koyak ketika proses membakar lemang selain menambah keharuman,” katanya.

Menurutnya, santan segar yang telah diadun bersama garam dimasukkan untuk mendapatkan rasa lemak manis pada lemang dibakar.

“Lemang akan dibakar sekata selama 3 hingga 4 jam bergantung kepada saiz dan tebal buluh yang digunakan

“Jangan hentak buluh ketika memasukkan beras pulut kalau mahu lemang dibakar sekata dan kembang elok,” katanya.

Salizan (tengah) bersama Hanafi (kiri) dan Mohd Idham sedang membakar lemang ditempah pelanggan di Kampung Plentong Baru, Masai, Johor.
Salizan (tengah) bersama Hanafi (kiri) dan Mohd Idham sedang membakar lemang ditempah pelanggan di Kampung Plentong Baru, Masai, Johor.

Bagi menjamin kepuasan, Salizan berkata, Lemang Barakah dibakar pada hari sama sebelum dihantar kepada pelanggan dalam keadaan masih panas.

“Kita akan ambil tempahan sebelum pukul 3 petang setiap hari sebab pukul 4 hingga 6 petang kita sudah buat penghantaran.

“Kita ambil tempahan bagi pelanggan yang tinggal di Johor Bahru, Skudai, Permas, Taman Molek, Pasir Gudang dan Kulai,” katanya.

Katanya, lemang dijual pada harga antara RM15 hingga RM21 sebatang bergantung kepada saiznya.

Selain lemang, Salizan berkata, mereka juga ada menjual rendang daging.

“Rendang yang dijual RM10 sebekas ini dimasak oleh isteri Mohd Idham, Norhalimah Sadiq, 28, menggunakan resipi turun-temurun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!