Industri media perlu suntikan dana kerajaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Industri media di Malaysia amat memerlukan suntikan dana daripada kerajaan susulan ia mengalami kemerosotan perniagaan drastik untuk tempoh lama sebelum tercetus pandemik koronavirus (Covid-19).

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata, ekoran ledakan dalam kemajuan teknologi maklumat dan pencetakan digital, industri media dalam beberapa tahun kebelakangan ini menghadapi kemerosotan drastik bukan sahaja dalam negara atau rantau Asia Tenggara malah di peringkat global.

Menurutnya, di Malaysia sahaja beberapa buah akhbar termasuk yang telah wujud lebih 100 tahun terpaksa ditutup manakala beberapa akhbar yang masih beroperasi berada dalam situasi kewangan yang tidak stabil.

"Saya bersetuju dengan saranan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya bahawa amat penting bagi kerajaan di samping membantu pelbagai industri yang terjejas oleh pandemik Covid-19 menghulurkan bantuan kepada industri media demi mempertahankan peranannya sebagai jagawan estet keempat.

"Industri media amat memerlukan suntikan dana pada saat ini," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Azman yang juga tokoh media tempatan berkata, walaupun terdapat pelbagai platform untuk orang ramai mengakses berita dan maklumat di media sosial, media arus perdana adalah lebih berkredibiliti dalam menyampaikan berita sahih.

Menurutnya, beliau percaya dalam tempoh kegawatan ekonomi pasca Covid-19 ini, tanpa bantuan kerajaan, industri media tidak mampu untuk beroperasi seperti biasa.

"Walaupun akhbar digital atau dalam talian mungkin menarik lebih ramai pembaca berbanding media cetak, ironinya para pengiklan lebih berminat untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka melalui akhbar cetak tetapi masalahnya pula akhbar-akhbar yang mengalami penurunan mendadak edarannya turut menyaksikan penurunan pendapatan iklan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman turut meluahkan rasa terkejut dengan pengumuman pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan bagi menangani ancaman Covid-19 sebelum ini yang seolah-olah 'terlepas pandang' nasib industri media arus perdana.

"Selaku wartawan veteran, saya menyeru rakyat dan industri pengiklanan untuk terus menyokong industri media cetak atau akhbar yang selama ini memainkan peranan penting dalam arus pembangunan negara.

"Saya turut menyokong penuh usaha dilancarkan baru-baru ini oleh syarikat akhbar di Malaysia untuk mendesak syarikat laman sosial gergasi dunia seperti Facebook, Google dan Twitter membayar royalti kepada akhbar tempatan untuk setiap berita disiarkan melalui aplikasi mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!