Mencari Jeff Bezos versi Malaysia
“SECARA umumnya, apa yang baik untuk masyarakat dan baik untuk ekonomi akan memberi kesan positif kepada media dan akhbar,” kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.
Ungkapnya, kesan buruk pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang, ditambah kemelut ekonomi dunia termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, akan terus menjelmakan masa depan suram buat pelbagai cabang industri negara termasuk media cetak terutama surat khabar.
“Badan-badan ekonomi dunia antarabangsa meramalkan situasi ekonomi sangat sukar dan pemulihan hanya akan berlaku pada tahun 2021.
“Sesiapa yang mahu kekal dalam pasaran harus mempunyai kemampuan untuk terus bertahan bagi tempoh setahun atau setahun setengah lagi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kadir yang menceburi bidang kewartawanan sejak lebih 50 tahun lalu diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr Chamil Wariya yang menulis dalam akhbar Sinar Ahad semalam mengenai masa depan bisnes akhbar di Malaysia.
“Badan-badan ekonomi dunia antarabangsa meramalkan situasi ekonomi sangat sukar dan pemulihan hanya akan berlaku pada tahun 2021.
Dr Chamil mencadangkan pihak kerajaan berbuat sesuatu untuk membantu bisnes media.
Kata Dr Chamil: “Kalau kerajaan boleh menyediakan bantuan berbilion ringgit untuk menyelamatkan syarikat penerbangan, peneroka Felda, penoreh getah, usahawan, bidang perhotelan, universiti dan industri pembinaan, kerajaan juga wajar menimbang suntikan dana ke dalam industri media di negara ini.”
Kadir pula percaya faktor yang mencabar media cetak pada ketika ini adalah transformasi digital dan bagaimana pemain industri media cetak mahu mengambil kesempatan terhadap transformasi tersebut.
Dibesarkan ketika era membaca bahan cetak adalah wajib untuk mendapatkan sumber berita, Tokoh Wartawan Negara kelahiran Pendang, Kedah itu berkata, sikap rakyat Malaysia yang tidak gemar membaca turut menyumbang kepada nasib suram industri akhbar.
“Kini ramai orang lebih selesa memilih platform media sosial untuk mendapatkan informasi mutakhir, tidak terkecuali juga untuk melayari saluran gosip yang tersedia 24 jam sehari dalam talian,” ujar penulis buku itu yang tetap setia dengan hobi membaca sepanjang bulan Ramadan ini. Beliau ialah kolumnis Sinar Ahad.
Ditanya apa yang mampu menyelamatkan masa depan surat khabar terutamanya selepas dibadai krisis Covid-19, mantan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu berkata, perlu ada dermawan yang sanggup tampil membantu tanpa memikirkan tentang keuntungan semata-mata.
“Akhbar paling ikonik di AS, Washington Post, misalnya, berjaya bangkit daripada muflis setelah ditadbir semula pihak yang sanggup mengambil alih akhbar berpengaruh itu bukan untuk tujuan keuntungan semata-mata,” kata beliau.
Orang terkaya di dunia yang merupakan Pengasas Amazon, Jeff Bezos membeli Washington Post pada harga AS$250 juta (RM1.1 bilion) pada tahun 2013. Bezos memfokuskan Washington Post ke arah digitalisasi dengan pembaca di seluruh AS dan peringkat global.
Pengangguran
Dalam pada itu, banyak syarikat penerbit akhbar di Malaysia kini berusaha menggesa pelbagai syarikat teknologi antarabangsa seperti Google dan Facebook untuk berkongsi pendapatan pengiklanan yang kebanyakannya dijana menerusi kandungan media tradisional.
Memetik laporan Bernama, usaha terbabit merupakan susulan keputusan penting kerajaan Australia baru-baru ini yang mewajibkan Google dan Facebook berkongsi perolehan hasil pengiklanan mereka dengan syarikat media tempatan.
Walaupun beberapa akhbar tradisional turut beralih kepada dunia digital, namun perolehan iklan daripada perkhidmatan berita dalam talian terus dibolot oleh Google dan Facebook.
Google dan Facebook menjadi pengumpul berita yang kebanyakannya dihasilkan oleh media tradisional, yakni pihak yang menanggung tenaga kerja dan sumber-sumber lain dalam penghasilkan berita berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, industri persuratkhabaran di negara ini akan mengalami anjakan paradigma selepas Covid-19 iaitu terkesan dengan penerbitan bercetak seperti yang telah lama berlaku di Eropah dan negara-negara barat.
Menurut Syed Agil, banyak syarikat media mengubah secara besar-besaran operasi media dan ada yang terkesan sehingga gulung tikar akibat kemelut ekonomi yang mengambil masa yang panjang untuk pulih disebabkan oleh pandemik itu.
“Banyak syarikat media yang masih bertahan akan melakukan rombakan ke atas modus operandinya dengan menjalankan pelbagai cabang perniagaan sampingan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan syarikat yang rumit dan kritikal.
“Kadar pengangguran dalam kalangan pengamal media akan meningkat dan sekiranya tempoh pemulihannya berterusan dalam jangka panjang dan tidak disuntik dengan program pemulihan industri oleh kerajaan, maka tidak hairanlah banyak industri media yang besar akan tumbang. Cuma firma-firma media dalam talian yang mampu bertahan dengan kapasiti operasi dan modal yang rendah,” katanya.
Masa depan
Bercakap soal masa depan surat khabar selepas Covid-19, beliau menambah, inisiatif baharu untuk menarik pembaca adalah dengan memperkasakan penerbitan secara dalam talian yang bersifat mobil, pantas dan boleh diakses dengan kos yang murah dan efektif.
“Bagi merangsang teknologi kandungan media dalam talian ini, ia sudah pasti mengundang risiko iaitu pengurangan kakitangan syarikat persuratkhabaran memandangkan praktis kewartawanan sedia ada menjadi lebih variasi iaitu seorang wartawan turut merangkap jurukamera dan kandungan berita juga boleh diperoleh daripada pelbagai sumber.
“Kadar pengangguran dalam kalangan pengamal media akan meningkat dan sekiranya tempoh pemulihannya berterusan dalam jangka panjang dan tidak disuntik dengan program pemulihan industri oleh kerajaan
Namun, kata Syed Agil, satu cabaran besar yang akan dihadapi oleh media selepas pandemik Covid-19 adalah persaingan kredibiliti nilai berita disebabkan oleh rangkaian penyebaran maklumat yang dilakukan oleh netizen adalah sukar dikawal.
“Ini kerana netizen yang bertindak sebagai ‘wartawan budaya baharu media siber’ akan bertindak menjalankan agenda propaganda dengan memperoleh sumber berita menerusi sumber-sumber yang eksklusif, mengolah berita mengikut kefahaman dan kepentingan mereka dan kemudian pantas mengedarkannya dalam setiap ruang media sosial kepada pembaca,” tegasnya.
Menurutnya, kesedaran terhadap pembangunan dan dinamik industri persuratkhabaran harus dimantapkan kepada setiap anggota masyarakat sejak di bangku sekolah lagi. Langkah itu bertujuan melahirkan masyarakat minda kelas pertama yang pandai memilih dan menilai sumber maklumat berita yang diperoleh dan mengiktiraf peranan kewartawanan persuratkhabaran digital sebagai wadah media yang berkredibiliti dan diyakini oleh semua lapisan masyarakat.
INFO
Bisnes surat khabar di Malaysia
1. Akhbar Nanyang Siang Pau menutup penerbitan edisi malam akhbar itu pada Julai 2012. Pada Mac 2020, akhbar Sin Chew Daily juga menutup akhbar edisi malamnya.
2. Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Malay Mail tutup pada Disember 2018 setelah wujud selama 122 tahun. Kini ia beroperasi secara dalam talian.
3. Akhbar Tamil Nesan ditutup pada Februari 2019 selepas mengusahakan percetakan selama 94 tahun.
4. Akhbar Utusan Malaysia menamatkan operasi selepas 80 tahun dalam bisnes berkenaan. Utusan Malaysia ditutup pada awal Oktober 2019.
5. Penerbitan akhbar Kosmo! (juga terbitan Kumpulan Utusan) turut menutup penerbitannya selepas beroperasi selama 15 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!