Tudung seludup dari Thailand dirampas
TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 4,300 helai tudung sulam dan tudung sulam bermanik dianggarkan bernilai RM71,380 yang dipercayai diseludup dari negara Thailand semalam.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sebuah kosong di Kampung Simpangan di sini pada jam 1 tengah hari semalam.
Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, anggota PPM memeriksa rumah kosong yang tidak berpenghuni itu selepas menerima maklumat awam semasa bertugas Op Covid-19.
“Setelah membuat pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut menemui sebuah kereta jenis Proton Wira yang ditinggalkan di situ.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta menjumpai bungkusan barangan berisi tudung sulam dan manik yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setelah menunggu lebih kurang 30 minit, tiada pihak yang tampil mengaku sebagai pemilik barangan tersebut.
“Pasukan serbuan kemudian merampas kesemua barang kes dan dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk dibuat laporan serta tindakan lanjut.
“Kereta jenis Proton Wira bernilai RM7,000 turut dirampas menjadikan nilai keseluruhan barangan rampasan berjumlah RM78,380,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 3,956 helai tudung bersulam itu dianggarkan berharga RM15 sehelai manakala 344 tudung sulam bermanik pula dianggarkan dijual dengan harga RM35 sehelai.
“Tiada ada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!