14 ditahan berjudi ketika PKPB
KUANTAN - Seramai 14 individu termasuk tiga wanita ditahan selepas didapati mengambil kesempatan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk bermain judi di sebuah premis di Jalan Wong Ah Jang di sini semalam.
Semua suspek berusia dalam lingkungan 33 hingga 73 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.25 petang oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan perjudian dan wang tunai RM4,515 disyaki wang pertaruhan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis tersebut didaftarkan di atas nama sebuah persatuan.
"Kita percaya, kumpulan ini mengambil kesempatan kelonggaran PKPB yang sedang dilaksanakan ketika ini untuk berkumpul dan bermain permainan berunsur perjudian," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Othman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Katanya, semua yang ditahan juga berkemungkinan akan dituduh di bawah Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2020.
"Polis meneliti cadangan tindakan ini untuk dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwaraya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!