Neymar, Mbappe akan terus beraksi dengan PSG
BEKAS pemain Manchester United, Ander Herrera, 30, percaya Kylain Mbappe dan Neymar akan terus beraksi dengan Paris St Germain (PSG) di sebalik khabar angin yang mengatakan kedua-dua pemain berkenaan akan meninggalkan kelab berkenaan musim panas ini.
Herrera berkata, kedua-dua rakan sepasukannya itu selesa berada di Paris di sebalik penangguhan saingan Ligue 1 akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Menurut Herrera dia turut yakin dengan komitmen kedua-dua pemain berkenaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kelab berkenaan.
“Mbappe dan Neymar masih berada di sini (Paris), apatah lagi dengan situasi yang kita semua sedang hadapi (Covid-19).
“Saya makan malam dengan Neymar sebelum perintah kuarantin dikuatkuasakan di Paris. Neymar beritahu saya dia tidak pernah rasa begitu gembira seperti di Paris.
“Projek PSG ini nyata menjadikan kedua-duanya merasa ‘cukup’ berada di sini (Paris),” katanya.
Untuk rekod Neymar dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Real Madrid manakala Mbappe pula dengan Real Madrid dan Liverpool.
Sementara itu Herrera kurang senang dengan dakwaan yang mengatakan mereka tidak menghormati ketika pemain Borusia Dortmund, Erling Haaland meraikan jaringan ketika menewaskan PSG 2-1 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, 19 Februari lalu.
“Selepas aksi suku akhir pertama itu, mereka (pemain Dortmund) telah meraikan kejayaan berkenaan terlalu terbuka dan menerusi laman sosial mereka mengatakan mereka tidak ‘membeli bintang’ tetapi ‘mencipta bintang.’
“Sebenarnya ia bukan sesuatu yang baik untuk membuatkan Neymar dan Mbappe marah, dan akhirnya kita menewaskan mereka pula di Paris untuk layak ke suku akhir pada 12 Mac lalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!