Penjawat awam terima bantuan khas Aidilfitri RM500
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 sebanyak RM500.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2020 berkata kerajaan memutuskan bantuan khas itu yang akan dibayar pada 20 Mei ini dengan pesara kerajaan menerima pencen turut menerima bantuan berjumlah RM250.
“Pegawai yang layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 adalah seperti berikut: pegawai lantikan tetap, sementara dan ‘contract of service’; pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji; pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan Khas Aidilfitri ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.
“Bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada guru interim; pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak mendapatkan khidmat pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya,” katanya dalam pekeliling itu.
Jelas Mohd khairul Adib lagi, pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran, Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971 turut layak menerima bantuan itu.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Adib berkata, Pekerja Sambilan Harian (PSH) masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 turut menerima bantuan khas itu RM500 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
“Pesara yang dilantik semula secara ‘contract of service’ dan masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 layak diberi bantuan khas itu sebanyak RM500.
“Pembayaran RM250 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya RM250 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!