Belanja RM132 juta bantu 200,000 rakyat sepanjang PKP
PUTRAJAYA - Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membelanjakan RM132 juta bagi meringankan beban 200,000 rakyat yang memerlukan di seluruh negara.
Menterinya, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya menerusi laman Facebook berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,000 penerima bantuan bukan Muslim telah mendapat bantuan #MUSAADAHCOVID19.
"Dalam soal bantuan kemanusiaan, kita 'buta' akan agama, bangsa dan warna kulit. Itulah semangat rakyat Malaysia," katanya.
Pada entri yang sama, beliau berkata, seramai 15 buah keluarga bukan Muslim di Desa Mentari, Petaling Jaya juga telah menerima bantuan tersebut hari ini.
"Alhamdulillah, pada hari ini saya dimaklumkan bantuan khusus daripada JPM telah sampai kepada mereka melalui badan bukan kerajaan yang telah diamanahkan untuk menyampaikan bantuan tersebut.
"Moga kita sama-sama dapat mengharungi ujian ini hingga pengakhirannya," katanya.
PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu menerusi empat fasa sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketika ini, negara dalam tempoh PKPB sehingga 9 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!