Waktu operasi niaga di Kuantan berubah
KUANTAN - Aktiviti perniagaan di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang dibenarkan beroperasi bermula 8 Mei lalu, kini tertakluk kepada perubahan baharu waktu operasi.
Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, perubahan tersebut disesuaikan dengan keadaan semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, perniagaan yang dibenarkan beroperasi pada jam 7 pagi hingga 7 malam melibatkan pasar mini, kedai serbaneka, kedai cermin mata, kedai emas, elektrik dan elektronik, kedai buku dan alat tulis, perkakasan dan kedai baja, kedai haiwan, akuarium, restoran bukan Muslim (semasa Ramadan), bengkel kenderaan, alat ganti, pusat kewangan, perbankan dan insurans, kedai telekomunikasi, pusat asuhan kanak-kanak dan kelab golf, manakala pasar awam beroperasi pada jam 5 pagi hingga 2 petang dan Pasar Borong Kemunting dibenarkan beroperasi jam 12 malam hingga jam 8 pagi.
"Bagi restoran Muslim dan restoran makanan segera, medan selera, pusat penjajaan, penjaja statik dan kedai makan tepi jalan (berbumbung) dibenarkan dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam manakala klinik, stesen minyak, perkilangan dan perhotelan dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen MPK," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, jenis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi ialah perniagaan yang melibatkan ramai orang pada satu-satu masa, pendedahan kepada titisan (droplets), sukar mengawal perilaku dan kemungkinan keberadaan bersama kontak rapat pesakit koronavirus (Covid-19) atau dalam ruang rapat dan tertutup dalam tempoh lama.
"Hal ini termasuklah seperti pusat hiburan dan riadah iaitu pawagam, pusat karaoke, pusat latihan vokasional, muzium, refleksologi, urutan, kelab malam, kolam renang, sukan riadah, taman tema serta aktiviti melebihi 10 orang," katanya.
Sementara itu beliau berkata, ujian saringan kesihatan Covid-19 diwajibkan kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan sekiranya berlaku sebarang kes positif kalangan pekerja dan pengunjung, premis tersebut hendaklah ditutup serta-merta.
"Kebenaran beroperasi ini tertakluk kepada premis perniagaan yang berlesen atau mempunyai kelulusan MPK sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!