Kementerian sentiasa tingkatkan mutu beras tempatan
KOTA BHARU - Melihat kepada permintaan terhadap beras tempatan yang semakin mendapat sambutan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berusaha untuk meningkatkan kualiti makanan asas itu.
Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usaha untuk meningkatkan mutu beras tempatan di negara ini sentiasa dilaksanakan.
"Baik koronavirus (Covid-19) atau tidak, memang kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengeluaran di samping menambah kuantiti dan usaha dibuat adalah berterusan.
"Apa yang saya dengar taklimat dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hari ini, sudah ada pelbagai langkah yang diambil oleh KADA untuk meningkatkan produktiviti dan mutu beras," katanya kepada media hari ini.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Binjai di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.
Che Abdullah berkata, untuk pengeluaran beras pihaknya mendapati, sumber pengairan adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh petani di negeri tersebut.
Katanya, sehubungan itu kini KADA berusaha mengalirkan air ke kawasan tanah padi bagi membantu seramai 7, 722 petani yang mengusahakan tanaman itu seluas 26,833 hektar.
"Cukup air, baja, dan kesuburan tanah antara satu usaha yang dilakukan KADA dalam mendapatkan padi atau beras yang bermutu tinggi dan berkualiti," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai keperluan dan bekalan beras di negara ini, Che Abdullah berkata, bekalan makanan asas itu lebih daripada mencukupi.
Menurut beliau, Kelantan sahaja mengeluarkan 129 peratus dari segi keperluan negeri dan melebihi keperluan rakyat negeri itu sendiri.
"Beras yang dikeluarkan mencukupi malah sebahagian besarnya, jika tidak silap saya dalam 50 peratus digunakan dalam negeri dan selebihnya untuk pasaran dalam negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!