Pemakaian topeng muka kunci kawal penularan Covid-19

Topeng muka
Topeng muka
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memakai topeng muka di tempat awam merupakan cara kepada membantu pengawalan jangkitan Covid-19.

Persatuan Thoracic Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, adalah penting setiap nasihat yang diberikan kerajaan kepada rakyat Malaysia termasuk mengenakan topeng muka perlu berdasarkan bukti saintifik sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19 di samping menanam keyakinan rakyat.

“Bukti saintifik menunjukkan penggunaan topeng muka berkesan mengawal jangkitan awal. Inilah kunci inisiatif kesihatan awam kerana sebilangan besar jangkitan Covid-19 berlaku pada fasa asimptomatik. Ia terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan sebagai langkah mengurangkan jangkitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bukti daripada negara lain menunjukkan strategi mengenakan pemakaian topeng muka sebagai sebahagian daripada pendekatan pelonggaran seharusnya dinyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia dan itulah jalan terbaik.

“Oleh itu, Persatuan Thoracic Malaysia ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan orang ramai yang menggunakan topeng muka di tempat awam merupakan kunci dalam membantu mengawal jangkitan COVID-19.

“Masyarakat seharusnya menggunakan sama ada topeng muka buatan sendiri atau dibeli di kedai dan farmasi kerana ia mampu membantu mengawal penularannya selagi ia digunakan dengan betul,” menurut kenyataan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!