Pendapatan kami tidak terjejas: Nelayan

Mat Zahid sedang menyiapkan kelengkapan untuk aktiviti mencadat sotong petang ini di Jeti Nelayan Beserah hari ini.
Mat Zahid sedang menyiapkan kelengkapan untuk aktiviti mencadat sotong petang ini di Jeti Nelayan Beserah hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Nelayan pesisir pantai mengakui tidak berdepan masalah kewangan ketika ini biarpun negara sedang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam keadaan segelintir individu terputus mata pencarian, rata-rata mereka mendakwa masih boleh meraih pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan kerana permintaan terhadap hasil laut sentiasa ada, apatah lagi tiada kekangan untuk mereka turun ke laut.

Nelayan, Ahmad Roslan, 49, berkata, mereka tidak berdepan masalah kerana aktiviti penangkapan ikan telah mendapat kebenaran daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Jadi kami tidak berdepan dengan masalah kewangan sangat sepanjang PKPB ini sebab aktiviti di laut masih boleh diteruskan.

"Cuma hasilnya itulah tidak banyak berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dapatlah sekitar RM200 hingga RM300 sehari," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Beserah hari ini.

Dalam situasi terkini katanya, pelbagai bantuan telah disalurkan kerajaan Pahang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LKIM dan kerajaan Persekutuan dalam usaha meringankan beban dihadapi nelayan.

Jelasnya, bantuan terbabit mengurangkan beban yang ditanggung dari segi mendapatkan bantuan keperluan harian.

Mat Zahid Omar, 58, berkata, beliau mampu meraih pendapatan hampir RM1,000 sebulan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB hampir dua bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ini semua hasil penjualan ikan kembong, ikan bawal, sotong dan udang yang semakin banyak pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Mat Tahir, 67, mengakui bantuan keperluan asas turut disalurkan oleh semua pihak kepada golongan nelayan sekali gus meringankan beban ditanggung mereka.

"Kami juga masih dibenarkan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ini memberi peluang untuk kami terus jana pendapatan.

"Setiap bulan kami boleh dapat RM1,000 dan itu sudah memadai dalam situasi sekarang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!