Aktiviti kreatif bersama keluarga sepanjang Ramadan ketika PKP
SHAH ALAM - Rutin harian pada Ramadan tahun ini amat berbeza bagi Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad dan keluarganya, namun bukan halangan untuk mereka mengekalkan amalan yang bermanfaat, baik dari segi ibadah mahupun permakanan.
Bahkan, Dr Fauziah menyifatkan ada hikmah besar buatnya sekeluarga dalam menjalani ibadah puasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini apabila ikatan kekeluargaan antara mereka makin erat.
“Ramadan tahun ini sangat berbeza. Tahun lepas, apabila malam saya ke surau. Setiap akhir Ramadan pula saya ada di Makkah,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.
Menurutnya, amalan solat dan mengaji bersama keluarga sepanjang Ramadan antara rutin yang diamalkan selain sesi tazkirah mengenai amalan terbaik.
Selain itu, beliau juga melakukan aktiviti-aktiviti lain bersama anak-anak seperti menanam pokok, mengecat pagar serta membaca.
“Kami juga bersenam aerobik menggunakan YouTube, memasak, mewarna, basuh pinggan serta mengemas bersama.
“Memasak sendiri dapat memastikan kebersihan terjaga dan memberi peluang melaksanakan aktiviti dengan kreatif bersama keluarga semasa PKP ini,” katanya.
Mengenai amalan pemakanan, Dr Fauziah berkata, beliau mengamalkan oat dan susu untuk menu ketika sahur dan juga menyediakan nasi serta lauk kegemaran anak-anak.
Beliau juga akan memastikan mereka sekeluarga minum air secukupnya.
“Untuk berbuka makan kurma, nasi dan lauk. Selepas Isyak dan tarawih boleh makan kuih.
“Pentingnya adalah makan makanan yang seimbang, ada protein, karbo dan vitamin,” katanya.
Menurutnya, apa yang terjadi pada Ramadan tahun ini sangat bermakna lebih-lebih lagi adanya masa yang membolehkan beliau menyediakan makanan berbuka untuk keluarga.
“Kalau sebelum ini terlalu sibuk dengan kerja tetapi apabila kerja dari rumah ini memberi peluang untuk bersama keluarga. Saya dapat membuat penjadualan bekerja dan sebelah petang boleh fokus memasak.
“Jika tidak, masa banyak terbuang pergi balik kerja, jadi makanan dan kuih (untuk berbuka) terpaksa beli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!