Hikayat Yahudi menjadi khalifah
ALLAMAH Muhammad Iqbal telah menulis, dalam buku The Secrets Of The Self yang diterjemahkan oleh Reynold Nicholson, sebuah cerita tentang bagaimana kambing akhirnya berjaya menjadi raja kepada singa.
Kalau singa menjadi raja kepada kambing, itu memang dijangka. Tapi kalau sebaliknya, memang tak masuk akal! Hakikatnya sudah pun berlaku pada zaman kita! Saya akan mengolah kembali dengan nada baharu sebuah cerita yang penuh pengajaran itu supaya umat Islam faham apa kelemahan falsafah pendidikan kita.
Tersebut alkisah pada mulanya umat singa telah bangun untuk bersaing dan menundukkan dengan paling pantas semua jenis binatang yang lain. Singa menjadi Khalifah Dunia kerana mereka kuat (al-qawi) dan beramanah (al-amin).
Tetapi selepas beratus tahun, kambing mula berfikir tentang bagaimana menewaskan singa supaya mereka pula menjadi khalifah atau raja. Kambing sedar bahawa mereka tidak mungkin menjadi lebih kuat daripada singa dari segi jasmani dan rohani.
Mereka nampak hanya satu cara untuk tewaskan singa. Kalau ilmu dan aras berfikir kambing menjadi lebih tinggi daripada singa suatu hari nanti, sudah pasti singa akan terpedaya. Singa juga ada satu kelemahan iaitu ego. Maka kambing pun mula belajar dan berlatih untuk menguatkan kemahiran berfikir dan menuntut ilmu setinggi yang mungkin.
Seekor kambing yang bernama Bloom telah bertungkus lumus mencipta satu taksonomi yang memiliki tiga dimensi iaitu dimensi kognitif (intelek), dimensi afektif (emosi) dan dimensi psycho-motor (jasmani). Taksonomi digunakan untuk menilai kualiti pelajar dari segi tiga dimensi tersebut.
Lalu kambing pun mempromosi Taksonomi Bloom itu kepada singa. Singa pun ketawakan kambing, “Taksonomi kamu kurang satu dimensi iaitu dimensi rohani! Kamu melahirkan umat tanpa rohani!” Lalu kambing pun menjerat ego singa dengan berkata, “Kamu sudah terbukti paling kuat dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani tetapi kamu umat singa belum lagi mencapai keseimbangan dan keharmonian diri!” “Intelek kamu kuat tetapi ia tidak seimbang dengan kekuatan rohani kamu! Umat kamu berpecah belah kerana kamu asyik bersaing antara satu sama lain dan tidak harmonis! Apa guna kamu jadi raja dunia sedangkan diri kamu berkecamuk dan umat kamu berpecah-belah!” Dimensi
Singa terasa egonya tercalar dengan cabaran kambing, lalu berkata, “Kami akan buktikan yang kami mampu mencapai keseimbangan dan keharmonian diri. Kami tidak lagi akan bersaing dengan kamu supaya kami buktikan kami bersifat harmonis!
"Maka, singa pun tidak lagi memberatkan perkembangan intelek mereka seperti dulu kerana mereka yakin dimensi intelek mereka sudah cukup kuat. Kini, mereka lebih menitikberatkan perkembangan rohani untuk mencapai keseimbangan diri.
Maka, mereka pun menjadikan Taksonomi Bloom sebagai asas falsafah pendidikan mereka dengan menempel saja dimensi rohani sebagai tambahan kepada tiga dimensi yang lain iaitu jasmani, intelek dan emosi. Kambing lemah kerana tidak pedulikan rohani! Maka, singa akan kuatkan rohani setinggi-tingginya!
Bertungkus lumus singa memperkembangkan dimensi rohani dan pada masa sama membiarkan kambing memperkuatkan dimensi intelek.
Selangkah demi selangkah, singa akhirnya mengabaikan perkembangan intelek, lalu kambing pun memonopoli bidang intelektual, sains dan teknologi. Akhirnya seluruh dunia sekarang menganggap kambing sebagai raja.
Singa masih tetap ketawakan kambing yang kelihatan terlalu obses dalam memperkuatkan dimensi intelek, politik, ekonomi, sains dan teknologi. Bagi singa, walaupun kambing kuat tetapi kambing gagal mencapai keseimbangan dan harmonis diri dengan dimensi rohani seperti mereka.
Singa tidak lagi peduli tentang persaingan intelek dan ilmu dengan kambing. Tak kisahlah sejauh mana pun kambing menjajah dunia. Apa-apa pun, singa takkan hilang di dunia. Sekadar takkan hilang walaupun kambing menjadi khalifah dunia dan singa menjadi kuli?
* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!