Arab Saudi kurangkan keluaran minyak 7.5 juta tong sehari

Langkah pemotongan harga minyak itu bertujuan untuk menyokong harga minyak yang jatuh ketika krisis Covid-19. - FOTO: AGENSI
Langkah pemotongan harga minyak itu bertujuan untuk menyokong harga minyak yang jatuh ketika krisis Covid-19. - FOTO: AGENSI
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi hari ini meminta syarikat minyak gergasi, Aramco untuk membuat pemotongan tambahan kepada sejuta tong sehari bermula Jun depan untuk menyokong harga minyak yang jatuh ketika krisis koronavirus (Covid-19).

Saudi Press Agency memetik kenyataan Kementerian Tenaga melaporkan, langkah itu akan mengurangkan pengeluaran negara pengeksport terbesar di dunia kepada 7.5 juta tong sehari.

Bulan lalu, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ mencapai kesepakatan untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 9.7 juta tong sehari manakala pengeluar lain bersetuju mengambil langkah sama yang menyaksikan pengurangan kepada kira-kira 3.7 juta tong sehari.

Di bawah perjanjian itu, pengeluaran minyak harian Saudi juga dikurangkan kepada 8.5 juta tong sehari pada paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.

"Pemotongan tambahan ini bagi merangsang negara dalam OPEC+ dan negara pengeluar lain untuk mematuhi langkah untuk melakukan pengurangan tambahan dalam usaha menyokong kestabilan pasaran minyak global," ujar Kementerian Tenaga Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, langkah menyekat pengeluaran terbaharu itu akan membolehkan Riyadh mengurangkan sehingga 4.8 juta tong sehari daripada tingkat rekod keluaran pada bulan lalu.

Walaupun terdapat pemotongan besar-besaran yang berkuat kuasa pada 1 Mei lalu, harga minyak kekal rendah dan kehilangan kira-kira dua pertiga nilainya pada tahun ini akibat kekurangan permintaan disebabkan wabak Covid-19.

Ketika ini, harga penanda aras antarabangsa, Brent terapung pada harga kira-kira AS$30 (RM130) setong. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!