Belum masanya UK tarik balik lockdown

Pekerja dalam sektor pembinaan di UK akan kembali bekerja pada minggu ini. Gambar kecil: Boris Johnson. - FOTO: AFP
Pekerja dalam sektor pembinaan di UK akan kembali bekerja pada minggu ini. Gambar kecil: Boris Johnson. - FOTO: AFP
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson semalam mengumumkan pelan tiga peringkat untuk melonggarkan lockdown dikuatkuasakan selama hampir tujuh minggu di seluruh negara di tengah-tengah kebimbangan risiko berlakunya gelombang kedua jangkitan koronavirus (Covid-19) di rantau Eropah.

Di bawah langkah itu, sekolah dan operasi premis perniagaan akan mula dibuka bermula 1 Jun depan jika kadar jangkitan berada pada tahap rendah.

Johnson yang pernah didiagnos positif Covid-19 dan dirawat selama seminggu termasuk dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) menyatakan masih terlalu awal untuk melonggarkan sekatan seperti dibuat negara Eropah lain.

"Belum masanya untuk menarik balik sekatan serta-merta pada minggu ini," ujarnya yang turut mengumumkan 'pelan bersyarat' untuk meredakan sekatan itu dalam tempoh beberapa bulan.

Menurutnya, kerajaan akan menggalakkan orang ramai dalam sektor pembuatan dan pembinaan kembali bekerja bermula minggu ini.

Selain itu, ia juga mengehadkan aktiviti di luar yang akan dibenarkan bermula esok dan hanya melibatkan individu dalam keluarga yang sama.

Di bawah peringkat kedua, taman asuhan kanan-kanak dan sesi persekolahan serta operasi perniagaan tidak penting hanya akan bermula seawal 1 Jun.

Ia disusuli dengan peringkat ketiga pada Julai depan melibatkan pembukaan semula industri perhotelan dan tempat awam yang masih akan melaksanakan langkah penjarakan sosial.

Artikel Berkaitan:

Di Perancis dan Sepanyol, jutaan penduduk kembali menjalani aktiviti seperti biasa hari ini selepas pemerintah masing-masing melonggarkan sekatan susulan penurunan kadar kematian yang didakwa paling rendah sejak awal April lalu.

Ketika ini, terdapat ketidakpastian di Jerman berikutan satu daerah perlu melaksanakan semula lockdown susulan penularan wabak itu di sebuah kilang pemprosesan daging selain kadar jangkitan meningkat kembali.

Selain itu, Belgium dan Greece adalah antara negara Eropah yang turut melonggarkan lockdown. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!