Tanggungjawab semua pihak

FOTO: FB FAM
FOTO: FB FAM
A
A
A

SETIAP pasukan kelab dan negeri yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) perlu mengambil tanggungjawab membantu pemain skuad Harimau Malaya mempersiapkan diri bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September dan Oktober depan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, jadual padat saingan Liga-M yang dirancang kembali berlangsung September depan akan menyukarkan untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menjalani latihan bersama.

Justeru, beliau berkata, pasukan kelab atau negeri perlu memainkan peranan membantu barisan pemain kebangsaan berada pada tahap terbaik dalam setiap sesi latihan atau saingan Liga-M.

“Memang akan menjadi sukar buat Harimau Malaya membentuk satu pasukan yang mantap dalam keadaan yang rumit ketika ini selain jadual padat yang bakal diharungi pemain apabila Liga-M bersambung semula.

“Apa yang kita sebagai jurulatih Liga-M boleh bantu Cheng Hoe adalah memastikan pemain-pemain skuad kebangsaan ini betul-betul berada pada kecergasan sepatutnya dan mewujudkan sesi latihan berintensiti tinggi.

“Cheng Hoe dan staf kejurulatihannya juga boleh datang memantau prestasi semasa pemain supaya memenuhi apa yang diharapkan termasuk memastikan pemain berada pada tahap yang terbaik.

“Malah, saingan Liga-M itu juga boleh menjadi medium untuk pemain mengembalikan semula sentuhan mereka selepas sekian lama tidak turun beraksi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan bayangan akan melangsungkan aksi kelayakan yang ditunda akibat wabak Covid-19 pada September atau Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia dilihat akan menyukarkan persiapan Harimau Malaya mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan memandangkan Liga-M dirancang bersambung semula pada September depan.

Mengulas lanjut, pengendali Selangor itu berkata, para pemain juga perlu menyedari tanggungjawab mereka untuk sentiasa berusaha berada pada tahap terbaik, sekali gus memberikan aksi yang dimahukan dalam pasukan kebangsaan.

“Pemain juga perlu main peranan mereka sendiri dengan berlatih dua atau tiga kali ganda untuk sentiasa cergas. Lagipun untuk berada dalam pasukan kebangsaan sekarang bukan senang kerana ada banyak saingan.

“Bagi saya, pemain yang dapat masuk dalam pasukan kebangsaan mempunyai masa depan cerah kerana sudah tentu mereka akan dapat kontrak dan gaji yang lebih baik bersama pasukan masing-masing. Ia situasi menang-menang untuk pasukan kebangsaan dan diri pemain itu sendiri,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!