Aduan perlu maklumat lengkap, mudahkan siasatan: KPDNHEP

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengguna memberi maklumat lengkap jika membuat aduan bagi memudahkan proses siasatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia juga bagi mengelak rasa tidak puas hati dan tohmahan orang ramai terhadap kementerian apabila tindakan tidak dapat dilakukan berikutan kekurangan atau ketiadaan informasi tepat.

"Saya minta supaya orang ramai beri laporan tepat tentang jenis barang, premis dan tempat di mana berlaku bagi memudahkan siasatan serta tindakan diambil bukan berasaskan dengar-dengar cakap sahaja.

"Jika ada maklumat tepat dan sahih, pihak kami tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada peniaga lebih-lebih lagi pada masa sekarang, rakyat sedang berada dalam kesusahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kilang syarikat pengeluar produk dalam tin, Pertima Terengganu Sdn Bhd di sini semalam.

Menurutnya, setakat ini KPDNHEP menerima 2,772 aduan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 86 kes diambil tindakan manakala selebihnya masih dalam siasatan dan menunggu tindakan lanjut.

Katanya, sebahagian besar aduan adalah berkaitan kenaikan harga barangan dalam tempoh PKP fasa satu yang berpunca daripada aktiviti pembelian panik oleh orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah aduan tinggi direkodkan pada PKP fasa satu dan selepas masuk fasa dua bilangannya semakin mendatar dan tidak banyak isu yang timbul selepas itu.

"Kebanyakan aduan juga berkaitan isu bekalan pelitup separuh muka yang tidak cukup disebabkan pembelian panik dan tindakan sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab yang menyorok bekalan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!