Berpada-padalah berpolitik: Sultan Nazrin
IPOH - [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pentadbiran kerajaan dan pemimpin agar bersederhana dalam berpolitik.
Baginda bertitah, kebajikan rakyat dan masa depan dengan tidak harus menjadi korban akibat tindakan berpolitik yang tiada sempadan.
Menurut baginda, kerajaan negeri baharu yang dibentuk perlu melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, penuh ikhlas dan berteraskan undang-undang.
"Kepercayaan Beta yang mahukan sebuah pentadbiran yang amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa dijunjung, harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa wajib dipenuhi.
"Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya, kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, kerana percaturan politik yang keterlaluan atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Baginda bertitah, perasmian mesyuarat kali ini berlangsung di luar kebiasaan iaitu pertama kali diadakan di dalam bulan Ramadan, istiadat perasmian diringkaskan serta tempoh mesyuarat dipendekkan sekadar memenuhi keperluan asas perlembagaan dan perundangan.
Selain itu, baginda menjelaskan kehadiran petugas dan pemerhati turut dihadkan dalam suasana dunia sedang menghadapi ancaman penularan virus koronavirus (Covid-19).
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut memaklumkan perubahan susunan tempat duduk sebahagian besar Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan berlakunya polemik politik menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti menubuhkan kerajaan pada awal tahun ini.
"Perkenan Beta menerima peletakan jawatan ADUN Chenderiang sebagai Menteri Besar, mengakibatkan kerajaan yang Beta perkenan dibentuk pada 12 Mei 2018 dengan sendirinya bubar.
"Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang terdiri daripada ADUN-ADUN yang mewakili PH yang masing-masing telah berusaha sedaya mungkin memberikan khidmat terbaik, selama tempoh 22 bulan menjunjung amanah beta dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Nazrin turut bertitah bahawa penularan wabak Covid-19 memberi impak sosioekonomi yang berat kepada negara dan rakyat.
Jelas baginda, keadaan itu turut memberi pengajaran yang tidak terjangka, mengundang dan mencabar minda rakyat terutama dalam kalangan pemimpin yang berada di peringkat atasan.
“Budaya kerja dalam hasrat membendung penularan dan meminimumkan pendedahan kepada virus, pastinya akan merubah tingkah laku dan norma sosial bakal melahirkan kebiasaan baharu atau new normal. Cara bekerja, cara berurus niaga, cara mengurus kewangan, cara beribadah, cara keraian, cara berekreasi dan cara menjalani kehidupan seharian akan berubah.
"Minda warga hendaklah bersedia melakukan pengubahsuaian untuk menerima budaya kerja, budaya sosial dan budaya hidup yang baharu,” titahnya.
Menurut turut menekankan betapa pentingnya mengambil iktibar dalam daripada pelbagai bencana alam yang telah berlaku di seluruh dunia sejak memasuki tahun 2020 bagi menggerakkan semula ekonomi sambil mengamalkan disiplin normal baharu.
Baginda bertitah, satu hikmah daripada sekatan pergerakan di serata dunia adalah pemulihan kualiti alam sekitar dalam bentuk penurunan pengeluaran gas rumah hijau, suhu yang menurun, pengurangan bahan zarah berbahaya, udara yang lebih bersih dan air sungai yang semakin jernih.
“Bumi bagaikan berada dalam tempoh berehat dan pemulihan. Bermakna dengan disiplin yang tinggi dengan kaedah pembuangan sisa yang terkawal, pencemaran alam dapat diminimumkan.
“Cabaran berat yang sedang dialami hendaklah juga dijadikan loceng amaran terhadap keselesaan dan kealpaan yang mungkin telah banyak berlaku secara sedar atau kurang sedar, secara sengaja atau tidak sengaja," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pemuliharaan alam sekitar wajib diutamakan dan tidak boleh lagi dikompromikan malah tindakan penguatkuasaan yang tegas serta pantas untuk memastikan kelestarian alam sekitar perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, baginda menitahkan agar usaha yang dirintis kerajaan Perak dengan sokongan Tenaga Nasional Berhad melaksanakan kempen tanaman pokok untuk menangani isu perubahan iklim sempena Hari Landskap Negara pada 3 Mac lalu perlu ditingkatkan dan dilaksanakan secara meluas di seluruh negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!