Budak dua tahun mati kesejukan terkunci luar rumah
NEW HAMPSHIRE- AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditemui mati dalam keadaan 'membeku' setelah terkunci dari bahagian belakang rumah ketika berlaku ribut salji.
Jiran, Shane Rowe menemukan mayat Sofia Van Schoick berpakaian baju tidur pada awal pagi di luar rumah pada suhu -8 darjah celsius.
Mangsa dikatakan baru pindah di kawasan Newport, New Hampshire, bersama ibunya sedang hamil dan saudara kembar Sofia, Camden.
Kata Shane, teman wanitanya, terdengar bunyi tangisan jam 4 pagi tetapi tidak nampak apa-apa lalu kembali tidur.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan keesokan pagi selepas ribut salji kembali reda.
Ibu Sofia yang mengetahui insiden itu panik lalu menyelimutkan anaknya sebelum menghubungi 911.
Datuk mangsa memberitahu media Amerika Syarikat, mangsa sangat berdikari dan mungkin bangun pada awal pagi untuk meninjau kawasan persekitaran rumah namun terkunci dari luar.
"Ibu Sofia sangat sedih dan menyalahi diri sendiri namun saya berharap dia tabah mengharungi dugaan ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Newport, James Burroughs berkata, sejurus kakitangan kecemasan tiba di lokasi telah mendapati mangsa tiada respon dan disahkan meninggal dunia.
Punca kematian mangsa mengalami hipotermia. - Mirror
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!