Jurujual didenda RM1,000 gara-gara berborak selepas beli makanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Gara-gara berborak dengan rakan selepas membeli makanan di sebuah restoran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat, seorang jurujual wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Teng Li Chin, 57, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah juga turut mensabitkan hukuman tiga bulan penjara jika OKS gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pada 1 Mei lalu jam 4 petang, Li Chin yang berada di Restoran Try To Eat di Jalan Bandar Pusat Bandar Rawang 2, Gombak didakwa dengan sengaja berada di kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah yang menghendaki dia perlu ada di rumah.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS atas kesalahannya itu.

Bagaimanapun, Peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Teng memohon hukuman denda yang minima kerana anak guamnya telah mengaku salah dan insaf atas kesalahan itu.

“Pada hari kejadian dia telah pergi membeli makanan di sebuah restoran, namun dia tidak terus pulang ke rumah tetapi sebaliknya berbual dengan rakannya di restoran itu.

Artikel Berkaitan:

"Dia bagaimanapun mengaku salah atas perbuatannya itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!