Dr Adham tuntut permohonan maaf, ganti rugi RM30 juta daripada C4
PETALING JAYA - Menteri Kesihatan, Seri Dr Adham Baba melalui peguam yang dilantik mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi berjumlah RM30 juta terhadap Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Notis disampaikan melalui Tetuan Fauzi dan Naseer itu memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk C4 membuat permohonan maaf terbuka berhubung dakwaan beliau terbabit dalam skandal memperoleh kontrak perolehan darurat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Peguam, Nasser Yusoff berkata, kenyataan yang dikeluarkan C4 berunsur tohmahan dan fitnah yang jelas merosakkan reputasi Dr Adham sebagai Menteri Kesihatan.
"Permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, laman web syarikat serta sidang akhbar dan setelah itu barulah budi bicara akan dilakukan terhadap tuntutan ganti rugi itu.
"Sekiranya ia tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari, maka kita akan memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi untuk kita capai proses keadilan melalui proses mahkamah," katanya.
Terdahulu, beliau bersama beberapa peguam serta pegawai KKM hari ini hadir di pejabat C4 di sini untuk menghantar notis berkenaan namun pejabat itu tutup dan tiada kakitangan yang kelihatan bekerja.
Notis tersebut kemudiannya ditampal di pintu pejabat tersebut dan difahamkan pihak peguam akan menyusul ke alamat lain C4 yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Mengulas lanjut, Naseer berkata, tuntutan yang dilakukan Dr Adham hari ini adalah membersihkan nama dan memberi input kepada orang luar dan masyarakat bahawa beliau seorang yang penuh berintegriti.
Katanya, kenyataan yang mengaitkan Dr Adham mempunyai proksi untuk memperoleh bekalan tender itu serta pembabitan rasuah adalah sangat menjejaskan reputasi beliau.
"Kita berharap pihak C4 dapat memberi maklum balas berhubung tuntutan yang dihantar dalam tempoh ditetapkan untuk membawa perkara ini di medan keadilan melalui proses mahkamah.
"Kita akan mempertimbangkan laporan polis tetapi disebabkan isu ini berkaitan civil, kita menghantar notis tuntutan dahulu sebelum saman di mahkamah," katanya.
Semalam, Pejabat KKM dalam satu kenyataan berkata, tuduhan mengatakan Dr Adham mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak perolehan darurat bagi pelaksanaan 'Lab Maligation Solution For Covid-19' tidak benar, berniat jahat dan bersifat 'pembunuhan karakter'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!