Maksimum 17 pelajar dalam kelas: Menteri
KUALA LUMPUR - Sebuah kelas hanya akan menempatkan 16 hingga 17 orang pelajar atau murid sekiranya sesi persekolahan dibuka semula selepas penutupannya berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya sudah membuat percubaan di lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang sepatutnya berada di dalam sesebuah kelas supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan Covid-19.
Mohd Radzi berkata, ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca Covid-19 yang akan diperincikan pihaknya nanti.
"Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang.
"Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.
"Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas Covid-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka," katanya.
Mohd Radzi berkata demikian dalam wawancara khas dalam program 'Soal Rakyat' yang disiarkan di TV3, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, SOP di kantin sekolah akan diperketatkan kerana ia merupakan kawasan tumpuan pelajar membeli dan menikmati makanan pada waktu rehat.
Kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain.
Pelaksanaan SOP itu katanya, akan menjadi cabaran kepada guru bagi memastikan semua pelajar mematuhi sebelum menjadikannya kebiasaan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!