Lima maut kebakaran hospital di Rusia
MOSCOW - Sekurang-kurangnya lima pesakit maut dalam satu kebakaran di sebuah hospital yang turut menempatkan pesakit koronavirus (Covid-19) di bandar kedua terbesar di Rusia hari ini.
Kejadian membabitkan Hospital Saint George di bandar Saint Petersburg itu berlaku pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
Menurut jurucakap pasukan penyelamat, kesemua mangsa ialah pesakit yang ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU).
Dalam kejadian itu, seramai 150 orang dipindahkan ke kawasan selamat.
Litar pintas disyaki punca kebakaran namun siasatan lanjut berhubung insiden dan kematian mangsa sedang dalam siasatan.
Menurut media tempatan, bomba pernah dikerah ke hospital itu pada 1 Mei lalu selepas berlaku kebocoran bahan kimia di tingkat tiga. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!