Bekas Exco Perak dilantik Speaker DUN Perak

Ngeh Koo Ham
Ngeh Koo Ham
A
A
A

IPOH - Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, hari ini.

Turut dilantik Timbalan Speaker yang baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya menggantikan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.

Pelantikan tersebut dibuat sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Difahamkan, berlaku kekecohan ketika usul untuk menggantikan Speaker dibangkitkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kemudiannya disokong oleh ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Koo Ham pada awalnya enggan menerima usul tersebut berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak kerana pencalonan untuk jawatan Speaker DUN hanya boleh dibuat jika terdapat kekosongan.

Bagaimanapun setelah didesak, beliau akhirnya akur dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Speaker DUN Perak untuk mengosongkan jawatan tersebut.

Koo Ham kemudiannya mengumumkan penangguhan mesyuarat dan semua ADUN pembangkang turut keluar Dewan.

Bagaimanapun, selepas penangguhan itu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dilantik sementara mempengerusikan mesyuarat sebelum Ahmad Faizal bangun mencadangkan nama Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN yang baharu dan disokong penuh semua ADUN kerajaan dan tiga ADUN bebas.

Artikel Berkaitan:

Zainol Fadzi kemudiannya mengumumkan Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN yang baharu.

Mohammad Zahir Abdul Khalid
Mohammad Zahir Abdul Khalid

Setelah itu, Saarani pula bangun mencalonkan nama ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya sebagai Timbalan Speaker DUN Perak yang baharu yang kemudiannya disokong ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria serta mendapat undian sebulat suara ADUN kerajaan dan bebas.

Persidangan kali ini tidak membenarkan liputan media di saat akhir dan hanya membenarkan media rasmi untuk berada di dalam Dewan.

Bagaimanapun, majlis perasmian berkenaan disiarkan secara langsung, namun hanya ketika Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah perasmian sebelum ia dihentikan ketika urusan pelantikan Speaker baharu.

Pada persidangan itu, tiga wakil rakyat turut dilantik sebagai Exco kerajaan Perak yang baharu iaitu ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Untuk rekod, Koo Ham dan Aminuddin dilantik masing-masing dilantik sebagai Speaker dan timbalan pada 3 Julai 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!