Gambar disalah guna, sekeluarga dianggap dijangkiti Covid-19

Mohd Zairi menunjukkan gambarnya sekeluarga disalah guna.
Mohd Zairi menunjukkan gambarnya sekeluarga disalah guna.
A
A
A

SEREMBAN – Gara-gara gambar disalah guna oleh sebuah blog yang melaporkan berita berkenaan koronavirus (Covid-19), sebuah keluarga di Ampangan di sini kini disalah anggap menghidap wabak berkenaan.

Beliau mendakwa blog berkenaan menggunakan gambarnya sekeluarga berhari raya dan bersalam-salaman dengan saudara mara tanpa kebenaran dengan tajuk ‘lima sekeluarga positif Covid-19 selepas terima tetamu di rumah’.

Mohd Zairi Abdul Razak, 52, berkata, beliau kini sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap pemilik blog terbabit.

“Gambar itu diambil oleh rakan saya dari sebuah akhbar pada dua tahun lalu dan dikeluarkan untuk ruangan Syawal.

“Tapi semalam, gambar itu dikeluarkan di blog terbabit tanpa kebenaran saya sehingga ada yang menganggap saya sekeluarga dijangkiti Covid-19.

"Ada juga yang beranggapan kami sekeluarga sedang dikuarantin di rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zairi menjelaskan salah faham berhubung penggunaan gambarnya di Facebooknya.
Mohd Zairi menjelaskan salah faham berhubung penggunaan gambarnya di Facebooknya.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai perkara itu daripada rakannya yang berkongsi pautan blog berkenaan di aplikasi WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

Katanya, meskipun gambar digunakan ditulis sebagai gambar hiasan namun menggunakannya tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan.

“Ditambah pula laporan yang ditulis itu berkenaan Covid-19, jadi boleh timbul salah faham pembaca yang kebanyakannya sekarang lebih ramai yang hanya baca tajuk berbanding isi laporan atau berita.

“Satu hal pula saya nak kena jelaskan pada kawan-kawan. Isu Covid-19 ini pula paling sensitif sekarang sebab ia antara hidup dan mati. Nanti tak pasal-pasal orang takut nak jumpa saya,” katanya.

Sehubungan itu Mohd Zairi berharap pemilik blog termasuk portal agar lebih bertanggungjawab dalam membuat laporan dan bukannya sesuka hati mencuri gambar orang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!