Lepak sebab nak makan makanan bungkus

Penguatkuasa MBKT melakukan rondaan di Pantai Batu Burok bagi memastikan orang ramai tidak keluar bersantai semasa PKPB. FOTO: MBKT
Penguatkuasa MBKT melakukan rondaan di Pantai Batu Burok bagi memastikan orang ramai tidak keluar bersantai semasa PKPB. FOTO: MBKT
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Mahu menikmati makanan yang dibungkus. Itu antara alasan orang ramai ketika diminta beredar dari kawasan peranginan Pantai Batu Burok selepas dikesan melepak di sana pada waktu malam.

Selain itu, mereka turut mendakwa tidak tahu bersantai dan melepak di pantai pada waktu petang merupakan satu kesalahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria berkata, selain Pantai Batu Burok, masalah sama turut dikesan berlaku di Pantai Teluk Ketapang, Dataran Shahbandar, Lagun Kuala Ibai dan jambatan angkat.

Fadli Yusof Zakaria
Fadli Yusof Zakaria

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pasukan penguatkuasa meningkatkan rondaan di kawasan tumpuan berkenaan pada waktu siang dan malam bagi memastikan orang ramai mematuhi PKPB.

“Seramai 18 penguatkuasa MBKT ditugaskan membuat rondaan di kawasan hotspot iaitu sembilan orang di bahagian Kuala Terengganu Utara manakala selebihnya meronda di Kuala Terengganu Selatan.

“Pasukan ini membuat rondaan dua sesi iaitu sesi pertama bermula seawal jam 8 pagi hingga 4 petang manakala sesi dua bermula jam 4 petang hingga 12 malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Fadli Yusof berkata, selain penguatkuasa MBKT, pasukan pemantau itu turut disertai pihak Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Malaysia (APM), RELA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pasukan tersebut bukan sekadar membuat rondaan di kawasan peranginan malah turut memantau premis perniagaan, tapak binaan, pasar awam, pasar borong, pasar raya dan pusat pengangkutan awam, rumah ibadat dan hotel.

Selain pantai, pasukan pemantau turut membuat rondaan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga serta orang ramai mematuhi SOP PKPB. FOTO: MBKT
Selain pantai, pasukan pemantau turut membuat rondaan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga serta orang ramai mematuhi SOP PKPB. FOTO: MBKT

“Pasukan ini ditugaskan untuk menangani masalah ketidakpatuhan arahan PKPB di kalangan peniaga, pengurus, pengusaha, penjaja serta orang awam.

“Kami berharap semua orang awam termasuk peniaga, pengusaha, pengurus serta penjaja memberikan kerjasama yang padu dengan mematuhi sepenuhnya arahan PKPB ditetapkan bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!