Polis betulkan kekeliruan pemandu kereta maut

Laporan Sinar Harian 9 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian 9 Mei lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis tampil membetulkan kekeliruan berhubung pemandu kereta yang maut dalam kemalangan di Jalan Besar di sini, 9 Mei lalu dikenali sebagai R Steevanraj, 25, dan bukannya P Kalai Vaanan, 35, seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kekeliruan itu berlaku ekoran penemuan kad pengenalan atas nama P Kalai Vaanan di dalam kereta terbabit.

Menurutnya, semasa kejadian tersebut, lelaki berkenaan yang dikatakan maut berada di rumah dan tidak terlibat dalam kemalangan lewat petang itu.

"Pemandu kereta yang maut semasa kejadian tidak membawa sebarang pengenalan diri bagaimanapun hasil proses pengecaman mayat dijalankan di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati mangsa yang meninggal dunia ialah R Steevenraj berasal dari Pulau Pinang," katanya.

Dalam kejadian tersebut, kereta jenis Suzuki Swift dinaiki empat individu itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke bandar Kuantan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh bangunan kedai di Jalan Besar berhampiran Wisma Kastam di sini.

Selain Steevanraj, kejadian tersebut turut mengorbankan penumpang belakang, M Praveendran, 18, dari Bukit Setongkol, manakala dua penumpang lain dilaporkan parah iaitu P Mogan Raj, 20, dan Minggan Anak Lanjang, 25.

Bagaimanapun, katanya, Minggan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi keesokan harinya ketika dirawat di zon merah hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut, dua parah kereta rempuh bangunan kedai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!