Selangor benarkan makan, minum di restoran

Semua restoran kini dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.n - Foto 123RF
Semua restoran kini dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.n - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membenarkan orang ramai makan dan minum di restoran susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan berkenaan dicapai melalui mesyuarat yang dijalankan bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai-pegawai daerah di seluruh Selangor.

"Semua restoran kini dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.

"Pemilik bagaimanapun tidak dibenarkan membuka meja di kawasan kaki lima dan parkir. Peniaga restoran digalakkan untuk memberi pilihan pra-tempah (pre-order) kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di dalam kedai," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, penguat kuasa PBT turut akan membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan berada di tahap optimum.

"Selain itu food truck dan penjaja tepi jalan (tiada premis) turut dibenarkan. Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis boleh mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja," katanya.

Jelasnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan Pekeliling yang lebih terperinci bagi tujuan rujukan dan penguatkuasaan lanjut sebermula 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020 hadapan.

"Sebarang bentuk aktiviti atau perkara lain yang tidak diperincikan adalah kekal tertakluk seperti yang digariskan dalam tatacara operasi piawai (SOP) yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!