Ditegur tak pakai 'mask', pekerja pasar raya ditumbuk
VAN NUYS - Dua pelanggan dilaporkan menumbuk pekerja sebuah pasar raya gara-gara ditegur tidak memakai topeng muka.
Kejadian awal Mei lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan yang terletak di Van Nuys, California, Amerika Syarikat.
Menurut pihak berkuasa, kedua-dua suspek dikenal pasti sebagai Phillip Hamilton,31, dan Paul Hamilton,29.
Mereka ditahan atas tuduhan mencetuskan kekecohan, lapor KTLA.
Dalam paparan video berdurasi 21 saat dimuat naik di YouTube menunjukkan kedua-dua pelanggan terbabit jelas tidak mengenakan topeng muka ketika memasuki premis berkenaan.
Petugas pasar raya cuba menegur dan meminta mereka keluar dari premis, namun tindakan itu tidak disenangi suspek yang kemudian bertindak kasar dengan menumbuk kakitangan berkenaan.
“Ketika mereka sedang menuju ke pintu keluar, salah seorang suspek mula mencetuskan provokasi dan menumbuk kakitangan pasar raya menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.
“Malah, suspek kedua juga turut sama memukul kakitangan pasar raya dan kekecohan mula tercetus,” jelas jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Drake Madison.
Katanya lagi, pergaduhan turut menyebabkan pekerja pasar raya berkenaan patah tangan kirinya.
Jurucakap pasar raya berkenaan dalam kenyataannya berkata, peraturan memakai topeng muka adalah bagi melindungi keselamatan pelanggan dan kakitangannya.
“Jika anda ingin mengunjungi sesebuah pasar raya, pastikan anda tahu dan patuh kepada peraturan premis tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!