Terminal 4 Lapangan Terbang Changi digantung sementara
SINGAPURA - Operasi terminal di Lapangan Terbang Changi akan disepadukan lagi untuk mengoptimumkan sumber susulan pergerakan penerbangan mengalami penurunan ketara berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).
Dalam kenyataan hari ini, Changi Airport Group (CAG) berkata, langkah tersebut akan membolehkannya dan rakan lapangan terbang itu terus dapat menjimatkan kos seperti utiliti dan pembersihan.
Pengendali lapangan terbang berkenaan berkata, mulai 16 Mei, operasi Terminal 4 (T4) akan digantung buat sementara dan syarikat penerbangan yang pada masa ini menggunakan T4 akan beroperasi di Terminal 1 atau Terminal 3.
Justeru, kedai dan restoran di T4 akan ditutup dan perkhidmatan bas ulang-alik menghubungkan T3 akan digantung sehingga operasi di T4 disambung semula, kata CAG.
“Tempoh pelaksanaan langkah itu bergantung kepada peningkatan permintaan perjalanan udara serta keperluan syarikat penerbangan yang ingin menyambung semula penerbangan di Lapangan Terbang Changi,” menurutnya.
Pada 6 April, CAG mengumumkan bahawa mulai 1 Mei, 2020, operasi di Terminal 2 akan digantung selama 18 bulan manakala syarikat penerbangan yang beroperasi dipindahkan ke terminal lain.
Pada April 2020, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 25,200 pergerakan penumpang dan 3,870 pergerakan pesawat manakala kendalian kargo udara bagi bulan itu sebanyak 96,500 tan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!