Amah didera, dipaksa bekerja tanpa gaji
LUMUT - Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa dera dua wanita sejak dua tahun lalu.
Wanita berusia 44 tahun itu diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sitiawan sekitar jam 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, maklumat awal diterima mendakwa mangsa telah dieksploitasi sebagai buruh paksa oleh majikannya sejak 2018.
“Mangsa yang tiba di negara ini melalui Pasir Gudang, Johor diurus oleh ejen pembantu rumah mendakwa telah dikurung dan dipaksa bekerja tanpa gaji selama dua tahun tanpa mengira masa.
“Mangsa dipukul dan didera menggunakan sebatang besi jika didapati enggan bekerja selain hanya diberi sisa makanan serta tempat tidur yang tidak terurus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang merupakan dua beranak berusia 25 dan 48 tahun itu direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Polis turut merampas pasport mangsa, sebatang besi, perakam video, set kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah telefon bimbit.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif,” katanya.
Nor Omar berkata, mangsa telah diberi Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Seri Manjung selama 21 hari dan dihantar ke rumah perlindungan selepas selesai menjalani rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!